Bengkak susu atau bengkak payudara adalah keadaan payudara ibu yang bengkak dan sakit disebabkan ketakungan susu badan selepas bersalin.
Ia selalunya berlaku pada awal penyusuan iaitu antara hari ke-3 dan ke-5 atau boleh juga berlaku lambat antara hari ke-9 hingga ke-10.
Walaupun seseorang ibu itu membuat keputusan untuk tidak menyusukan anaknya, mereka masih boleh mengalami bengkak susu. Badan akan menghasilkan susu, tetapi jika anda tidak memerah atau menyusu, pengeluaran susu akhirnya akan berhenti.
Apakah Punca Bengkak Susu?
Bengkak susu berpunca daripada peningkatan aliran darah di dalam payudara anda selepas beberapa hari melahirkan anak atau bersalin. Peningkatan aliran darah ini membantu payudara anda untuk menghasilkan susu yang mencukupi.
Namun begitu, ia mungkin menyebabkan kesakitan atau tidak selesa. Bengkak susu boleh berlaku pada pertama kalinya pada minggu pertama atau kedua selepas bersalin. Ia juga boleh berlaku kembali bila-bila masa semasa tempoh anda menyusukan bayi.
Terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan bengkak susu, contohnya seperti:
- Perubahan waktu menyusu
- Terlepas sesi mengepam susu
- Bekalan susu yang berlebihan
- Pengurangan penyusuan akibat membekalkan bayi dengan susu formula
- Bercerai susu terlalu cepat
- Menyusukan bayi yang sakit
- Kesukaran menyelak dan menghisap
- Mempunyai paras hormon prolaktin yang tinggi yang merangsang penghasilan susu
- Bayi tidak mahu menyusu buat sementara waktu
- Ubat-ubatan atau herba galaktagog yang meningkatkan penghasilan susu yang boleh menjurus ke arah penghasilan susu berlebihan
- Implan payudara yang menyekat aliran susu badan
Berapa Lama Bengkak Susu Terjadi?
Bengkak susu selalunya berlaku hanya sementara waktu iaitu sekitar 24 hingga 48 jam.
Cara Mengatasi Bengkak Susu
Rawatan atau cara untuk mengatasi bengkak susu bergantung sama ada anda menyusu badan atau tidak.
Bagi ibu yang menyusu badan, langkah-langkah berikut boleh membantu mengatasi masalah bengkak susu:
1. Menyusukan Bayi Anda dengan Lebih Kerap
Menyusukan bayi anda dengan lebih kerap boleh membantu. Tawarkan bayi anda dengan susu setiap 1 hingga 3 jam sepanjang hari siang dan malam. Anda perlu biarkan mereka menyusu selama mana yang mereka mahu.
Sasarkan sekurang-kurangnya 20 minit bagi setiap sesi penyusuan. Sekiranya anda mempunyai bayi yang mengantuk, kejutkan mereka untuk penyusuan.
Elakkan memberikan bayi anda susu formula di antara sesi penyusuan badan.
2. Gunakan Pam Susu
Anda juga boleh menggunakan pam susu untuk mengepam lebihan susu atau memerah susu anda sekiranya anda tidak dapat menyusukan anak anda atas faktor kerja atau sebagainya.
3. Gunakan Posisi Penyusuan Berbeza-beza
Selang-selikan payudara mana yang anda tawarkan dahulu kepada bayi anda. Kaedah ini boleh memberikan kesimbangan antara kedua-dua payudara anda dalam membekalkan susu.
Kaedah ini juga boleh mengelakkan payudara anda daripada bengkak sebelah.
4. Permudahkan Penyusuan
Dapatkan mandian air suam atau letakkan kompres suam pada payudara anda sebelum bermula menyusukan bayi anda atau mengepam. Kehangatan tersebut boleh membantu refleks turun bebas dan membuatkan susu anda mengalir.
Gunakan teknik pemerahan tangan atau pum payudara untuk memgeluarkan sedikit susu badan sebelum setiap sesi penyusuan. Kaedah ini boleh membantu melembutkan payudara, mengurangkan kelajuan aliran susu dan memudahkan bayi anda untuk menyusu.
Anda juga boleh mengurut payudara anda semasa bayi sedang menyusu bagi membantu melegakan ketegangan dan mengeluarkan lebih banyak susu.
5. Legakan Kesakitan dengan Daun Kubis Sejuk
Anda boleh menggunakan daun kubis bersih yang disejukkan atau kompres sejuk pada payudara anda selepas setiap sesi penyusuan bagi membantu melegakan kesakitan dan bengkak.
Selitkan daun kubis atau kompres tersebut diantara baju dalam anda bagi membantu ia kekal di tempatnya.
Anda juga boleh mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sebelum menggunakan ubat pelega kesakitan belian kaunter seperti paracetamol (Panadol atau Uphamol) atau ibuprofen bagi membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan.
Bagi ibu yang tidak menyusu badan, pembengkakan yang menyakitkan biasanya berlangsung kira-kira satu hari. Selepas tempoh itu, payudara anda mungkin masih terasa penuh dan berat, tetapi rasa tidak selesa dan sakit akan berkurangan.
Anda boleh menunggu sehingga tempoh tersebut berakhir atau anda boleh menggunakan kaedah rawatan berikut:
- Menggunakan kompres sejuk atau pek ais untuk mengurangkan bengkak atau keradangan.
- Mengambil ubat pelega kesakitan (atas nasihat ahli profesional kesihatan).
- Memakai pakaian dalam yang menyokong bagi mencegah payudara anda bergerak dengan ketara.
Bagaimana Cara Mencegah Bengkak Susu?
Anda tidak boleh menghalang pembengkakan susu pada hari-hari pertama selepas bersalin. Sehingga badan anda tahu cara mengawal pengeluaran susu, anda mungkin akan menghasilkan susu yang berlebihan.
Tetapi, anda boleh mencegah episod pembengkakan susu yang mendatang dengan teknik berikut:
1. Menyusu dan Mengepam dengan Kerap
Badan anda menghasilkan susu dengan kerap, tanpa mengira jadual penyusuan. Susukan bayi anda sekurang-kurangnya setiap 1 hingga 3 jam. Pam jika bayi anda tidak lapar atau anda bekerja.
2. Gunakan Pek Ais
Pek ais atau kompres sejuk boleh membantu mengurangkan penghasilan susu.
3. Keluarkan Sedikit Susu
Anda boleh menggunakan kaedah perahan menggunakan tangan atau pam untuk mengeluarkan sedikit susu bagi tujuan mengurangkan tekanan.
Namun, jangan memerah atau mengepam secara berlebihan kerana badan anda mungkin cuba menghasilkan lebih banyak susu untuk menggantikan apa yang baru anda keluarkan.
4. Mencerai Susu dengan Perlahan-lahan
Sekiranya anda merancang menceraikan susu terlalu cepat, anda mungkin akan mengalami masalah susu berlebihan atau bengkak susu. Perlahan-lahan menceraikan susu boleh memberikan masa untuk badan menyesuaikan diri dengan keperluan yang berkurangan.
Rumusan
Bengkak susu atau bengkak payudara adalah keadaan payudara yang bengkak dan keradangan akibat peningkatan aliran darah dan bekalan susu. Selalunya ia berlaku pada beberapa hari selepas anda bersalin.
Sehingga badan anda tahu berapa banyak yang anda perlukan, ia mungkin menghasilkan terlalu banyak susu. Ini boleh menyebabkan pembengkakan payudara. Penyusuan atau pengepam yang kerap boleh membantu mencegah pembengkakan payudara.
Jika anda terus mengalami bengkak yang menyakitkan akibat bengkak susu, sila dapatkan nasihat atau rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.
Rujukan
- Zakarija-Grkovic, I., & Stewart, F. (2020). Treatments for breast engorgement during lactation. The Cochrane database of systematic reviews.
- Murray,D. (2022). Breast Engorgement Causes, Treatments, and Prevention. verywellfamily
- healthychildren.org. How Often To Breastfeed