Batuk berulang-ulang atau batuk berterusan (kronik) adalah batuk yang berlaku selama 8 minggu atau lebih bagi orang dewasa dan 4 minggu bagi kanak-kanak.
Batuk yang berulang-ulang bukan sekadar gangguan biasa, malah ia boleh mengganggu tidur dan menjejaskan kualiti hidup anda.
Batuk yang berulang-ulang atau berterusan biasanya disebabkan oleh sesuatu yang ringan dan mudah dirawat. Walau bagaimanapun, dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menjadi petanda kepada penyakit paru-paru atau jantung yang serius.
Batuk berulang-ulang boleh berpunca daripada bronkitis. Bronkitis ialah keadaan di mana berlaku bengkak atau keradangan pada tiub bronkus dan meningkatkan penghasilan mukus (lendir).
Terdapat dua jenis bronkitis iaitu bronkitis akut dan bronkitis kronik.
Bronkitis akut biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan selalunya akan sembuh dengan sendirinya dalam beberapa minggu. Kebanyakan orang tidak memerlukan rawatan untuk bronkitis akut.
Bagi bronkitis kronik pula, anda akan batuk berkahak (bermukus) dalam kebanyakan hari dalam sebulan selama 3 bulan dalam setahun. Keadaan ini berterusan selama sekurang-kurangnya 2 tahun.
Bronkitis kronik memerlukan rawatan perubatan.
Gejala-gejala dan Tanda Bronkitis
Bronkitis akut dan kronik boleh menyebabkan gejala-gejala dan tanda seperti:
- Batuk
- Penghasilan kahak (mukus) – boleh menjadi jernih, putih, hijau atau kelabu kekuningan.
- Sesak nafas
- Demam ringan dan menggigil
- Ketidakselesaan di dada
- Kelesuan
Punca-punca lain yang Menyebabkan Batuk Berulang-ulang Bagi Orang Dewasa
Selain bronkitis, terdapat juga beberapa punca lain yang juga boleh menyebabkan batuk berulang-ulang bagi orang dewasa.
Antaranya adalah seperti berikut:
1. Asma
Asma boleh menyebabkan batuk berulang-ulang atau berterusan. Biasanya ia akan berlaku bersama-sama gejala-gejala lain seperti berdehit dan sesak nafas.
Gejala-gejala ini secara amnya akan berlaku bersama-sama apabila asma tercetus.
2. GERD
Penyakit refluks gastroesofagus (GERD) adalah keadaan di mana asid perut mengalir kembali ke dalam tiub yang menghubungkan perut dan tekak anda (esofagus).
GERD boleh menyebabkan batuk berterusan. Sesetengah orang tidak mempunyai gejala-gejala biasa seperti pedih ulu hati dan satu-satunya gejala mungkin batuk berterusan.
Batuk akibat GERD biasanya lebih teruk pada waktu malam selepas berbaring di atas katil.
3. Titis Postnasal
Apabila hidung atau sinus anda mengeluarkan mukus berlebihan, ia boleh menitis ke bahagian belakang tekak anda dan mencetuskan refleks batuk.
Keadaan ini juga dipanggil sindrom batuk saluran pernafasan atas.
4. Jangkitan Kuman
Jangkitan kuman seperti kuman tibi juga boleh menyebabkan batuk berulang-ulang.
Penyakit tibi (tuberkulosis) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.
Selain itu, pertusis atau batuk kokol juga boleh menyebabkan batuk berulang-ulang bagi orang dewasa terutamanya mereka yang tidak pernah mengambil imunisasi terhadap penyakit ini.
5. Ubat Tekanan Darah Tinggi
Bagi sesetengah orang, ubat perencat enzim penukaran angiotensin (ACE) yang selalunya dipreskripsi untuk tekanan darah tinggi dan kegagalan jantung juga boleh menyebabkan batuk berterusan.
Jarang-jarang berlaku, batuk berulang-ulang boleh disebabkan oleh:
- Bronchiectasis: Saluran udara yang rosak atau kembang.
- Bronchiolitis: Keradangan pada saluran udara yang sangat kecil di dalam paru-paru
- Cystic fibrosis
- Kanser paru-paru
- Eosinophilic bronchitis: Keradangan saluran udara
- Idiopathic pulmonary fibrosis: Parut pada paru-paru yang kronik
Punca-punca Batuk Berulang-ulang Bagi Kanak-kanak
Penyebab batuk yang paling biasa tidak sama untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Penyebab batuk bagi kanak-kanak kecil adalah:
- Asma
- Episod bronkitis akibat jangkitan bakteria yang berpanjangan
- Sindrom batuk saluran pernafasan atas atau batuk selepas jangkitan, kadangkala boleh berlarutan selama beberapa minggu selepas jangkitan saluran pernafasan atas
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2019). Chronic cough. MayoClinic
- Al-Hajjaj M. S. (2017). Management of chronic unexplained cough. Annals of thoracic medicine.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Bronchitis. Clevelend Clinic