Ramai yang tidak tahu dan sedar akan bahaya yang wujud sekiranya meninggalkan botol air di tempat yang panas seperti kawasan yang terdedah kepada panas terik matahari atau dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari.
Sesetengah orang mungkin tertinggal atau sengaja tinggal botol air minuman di dalam kereta mereka. Adakalanya bertujuan sebagai bekalan air untuk perjalanan jauh atau bekalan ketika cuaca panas bagi mengelakkan dehidrasi.
Tetapi sebelum anda meminum air minuman yang ditinggalkan tersebut, anda mungkin perlu berfikir dua kali sama ada ia selamat untuk diminum atau tidak.

Bahaya atau Risiko yang Wujud
Kebanyakan barangan plastik melepaskan sejumlah kecil bahan kimia ke dalam minuman atau makanan yang terkandung di dalamnya. Apabila suhu dan masa meningkat, ikatan kimia dalam plastik semakin terurai dan bahan kimia lebih cenderung untuk larut lesap.
Menurut U.S Food & Drug Administration (FDA), jumlah bahan kimia tersebut adalah terlalu kecil untuk menyebabkan masalah kesihatan, tetapi saintis melihat kesan jangka panjang pendedahan terhadap bahan plastik tersebut. Pada satu tempoh masa yang panjang, dos yang kecil tersebut boleh berkumpul menjadi besar.
Kebanyakan botol air seperti botol mineral yang dijual di pasaran adalah diperbuat daripada plastik yang dipanggil polyethylene terephthalate atau PET. Ia boleh dikenali dengan kod kitar semula nombor 1 (simbol kitar semula di dasar botol) dan diterima di kebanyakan tempat kitar semula.
Kajian oleh pengkaji dari Arizona State University pada tahun 2008 melaporkan bahawa suhu di mana botol minuman diletakkan mempunyai kesan yang ketara terhadap masa untuk antimoni meresap ke dalam air minuman. Antimoni adalah bahan digunakan dalam pengilangan plastik dan boleh menjadi toksik pada dos yang tinggi.
Sekiranya botol plastik itu terdedah kepada suhu 80°C, ia hanya memerlukan masa selama 2 hari untuk paras antimoni melebihi paras bahaya atau toksik.
Suhu di dalam kereta, garaj atau tempat tertutup pada musim panas boleh melebihi 65°C, ia memerlukan kira-kira 38 hari untuk paras antimoni dalam botol tersebut melebihi paras bahaya.
Kajian ini menunjukkan risiko atau bahaya meninggalkan botol air minuman plastik di tempat yang panas seperti di dalam kereta atau kawasan yang terdedah kepada terik matahari.
Terdapat juga kajian yang dijalankan di China pada tahun 2014 yang mendapati pelepasan antimoni meningkat selari dengan kenaikan suhu penyimpanannya. Kajian ini turut melaporkan bahawa paras antimoni dalam botol minuman plastik (PET) adalah melebihi paras bahaya jika disimpan pada suhu 70°C selama 4 minggu.
Bagaimana dengan Botol Boleh Guna Semula?
Botol air yang boleh digunakan semula dihasilkan daripada plastik high-density polyethylene (HDPE) atau polycarbonate. HDPE boleh dikenali dengan kod kitar semula nombor 2 dan polycarbonate dikenali dengan kod kitar semula nombor 7.
Untuk membuatkan botol HDPE atau polycabonate berkilat dan keras, pengilang biasanya menggunakan bisphenol-A (BPA). BPA terkenal dengan ketoksikannya. BPA boleh mengganggu fungsi normal hormon dan boleh menjejaskan kesihatan.
Kajian oleh pengkaji dari Xinxiang Medical University mendapati BPA mempunyai perkaitan dengan kanser payudara walaupun pada dos yang rendah.
Walau bagaimanapun, tidak banyak kajian yang dijalankan terhadap ketoksikan air di dalam botol boleh guna semula jika disimpan di tempat yang bersuhu tinggi.
Terdapat satu kajian melaporkan bahawa sekiranya air panas disimpan di dalam botol plastik yang diperbuat daripada polycarbonate, pelesapan BPA ke dalam air minuman turut meningkat.
Memilih Botol yang Bebas BPA (BPA-free)
Ramai pengilang yang telah memulakan pendekatan lebih mesra pengguna dengan menghasilkan produk yang bebas BPA.
Walau bagaimanapun, bebas BPA tidak semestinya baik. Hal ini demikian kerana pengilang biasanya menggunakan bisphenol-S (BPS) sebagai alternatif.
Kajian yang diterbitkan pada tahun 2018 turut mendapati BPS turut memberikan kesan negatif terhadap kesihatan reproduktif haiwan yang diuji.
Pilihan Anda Sebagai Pengguna
Justeru itu, pilihan yang terbaik sebenarnya adalah menggunakan botol kaca atau botol logam berbanding botol plastik sekiranya anda mempunyai pilihan tersebut.
Namun, jika pilihan anda adalah terhad, memilih botol minuman bebas BPA adalah lebih baik daripada botol minuman yang mengandungi BPA.
Pastikan anda menyimpan atau meletakkan botol air minuman anda jauh daripada haba atau cahaya matahari. Jangan sesekali meninggalkan botol air minuman anda di dalam kereta yang panas.
Meminum sebotol air mineral yang diperbuat daripada plastik PET mungkin tidak menjejaskan kesihatan anda. Tetapi, sekiranya anda sering meminum air daripada botol plastik PET yang terdedah pada suhu yang tinggi, ia mungkin boleh menjejaskan kesihatan anda pada jangka masa yang lama.