Isu bahan beracun dalam kosmetik atau produk penjagaan diri adalah bukan perkara baru. Malah, lambakan pelbagai produk kosmetik dan kecantikan pada masa kini mendedahkan anda kepada bahaya bahan-bahan kimia tersebut.
Walaupun produk-produk kosmetik adalah dibawah kawalan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, sebagai seorang pengguna anda juga harus peka terhadap bahan-bahan yang digunakan dalam produk kosmetik anda.
Sehubungan dengan itu, artikel ini membantu anda dengan menyenaraikan beberapa bahan kimia atau bahan beracun yang mungkin berada dalam produk kosmetik atau penjagaan diri dalam pasaran (terutamanya yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia).
1. Formaldehid (Formaldehyde)
Formaldehid atau turut dikenali dengan nama-nama seperti formalin dan methylene glycol, adalah bahan kimia yang boleh dijumpai dalam produk-produk melicinkan rambut.
Formaldehid juga turut boleh dikenali dengan nama-nama seperti DMDM hydantoin, polyoxymethylene urea, diazolidinyl urea, bromopol, imidazolidinyl urea, glyoxal, methenamine, quaternium-15, dan sodium hydroxymethylglycinate.
Formaldehid dan bahan berkaitan dengannya dilaporkan boleh menyebabkan ruam kulit, sakit kepala, sakit tekak, loya, iritasi mata, berdehit dan kerengsaan. Jika terdedah pada jangka masa yang lama dan paras yang tinggi, ia meningkatkan risiko kepada kanser. [1]
2. Merkuri (Mercury)
Merkuri juga merupakan bahan yang banyak digunakan dalam produk-produk kecantikan kulit terutamanya yang ingin memutihkan kulit.
Walau bagaimanapun, merkuri boleh menyebabkan tindak balas alahan, iritasi kulit dan neurotoksik iaitu memberi kesan buruk terhadap sistem saraf.
3. Triclosan
Triclosan ialah bahan kimia yang digunakan dalam banyak produk pengguna untuk mencegah pencemaran bakteria. Ia lazimnnya digunakan dalam sabun antibakteria, ubat gigi dan sesetengah kosmetik.
Kajian terhadap haiwan mendapati bahan kimia ini mempunyai kaitan dengan pengurangan hormon tiroid dan boleh mengalakkan pertumbuhan sel-sel kanser. [2, 3]
Kajian terhadap manusia juga turut mendapati triclosan mempunyai perkaitan dengan keguguran dan kecacatan lahir. [3]
4. Plumbum (Lead)
Plumbum adalah logam berat yang wujud secara semula jadi. Kesan-kesan plumbum mungkin boleh dijumpai dalam makanan atau minuman kita.
Plumbum juga turut digunakan dalam produk-produk kosmetik seperti gincu, pengilat bibir (lip gloss), pembayang mata (eye shadow), syampu dan losyen badan.
Terdedah kepada jumlah plumbum yang tinggi meningkatkan risiko kepada keracunan plumbum. Keracunan plumbum boleh menyebabkan anemia, tekanan darah tinggi, keguguran, kemandulan bagi lelaki dan kematian. [4]
5. Hidrokuinon (Hydroquinone)
Hidrokuinon ialah agen pemutih kulit yang selalu digunakan dalam produk-produk kecantikan yang boleh membantu merawat masalah kulit seperti hiperpigmentasi.
Walau bagaimanapun, hidrokuinon dikelaskan sebagai racun berjadual yang hanya boleh digunakan dibawah penyeliaan ahli professional kesihatan.
Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan atau kekeringan kulit, iritasi dan “ochronosis” iaitu keadaan yang ditandai dengan papules dan pigmentasi hitam kebiruan.
6. Diethanolamine atau DEA
Diethanolamine (DEA) adalah agen berbuih yang dijumpai dalam sabun mandi, syampu, atau mandian buih.
Kajian terhadap haiwan mempunyai bukti yang mencukupi bahawa DEA ini bersifat karsinogen iaitu boleh menyebabkan kanser. Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyatakan DEA bersifat karsinogen terhadap manusia. [5]
Menurut U.S. Food & Drug (FDA), mereka percaya bahawa pada masa ini tiada sebab untuk pengguna berasa cemas berdasarkan penggunaan bahan tersebut dalam kosmetik. Walau bagaimanapun, pengguna yang ingin mengelakkan kosmetik yang mengandungi bahan berkaitan DEA atau DEA boleh berbuat demikian. [6]
7. Kloroform (Chloroform)
Kloroform adalah bahan kimia yang telah diharamkan penggunaannya dalam produk-produk kosmetik.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa kloroform boleh menyebabkan tumor hati dan buah pinggang dan berkemungkinan turut berbahaya kepada kesihatan manusia. [7]
8. Tretinoin
Tretinoin juga dikelaskan sebagai racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara, KKM.
Tretinoin biasanya digunakan dalam ubat untuk merawat jerawat dan kerosakan kulit akibat cahaya matahari.
Walau bagaimanapun, penggunaan tretinoin ini perlu dibawah penyeliaan ahli profesional kesihatan kerana boleh mendatangkan kesan sampingan serius seperti iritasi yang berpanjangan, lepuh, ebngkak, kemerahan berlebihan atau perubahan terhadap pigmentasi kulit.
Tretinoin juga tidak disarankan digunakan oleh wanita hamil dan menyusukan anak.
9. Toluene
Toluene adalah pelarut yang banyak dijumpai dalam pengilap kuku dan pewarna rambut.
Terdedah kepada toluene boleh menyebabkan iritasi mata dan hidung, kepenatan, pening, sakit kepala, keresahan, kelesuan otot, insomnia, kerosakan saraf, keradangan kulit, kerosakan hati dan kerosakan buah pinggang. [8]
10. Betamethasone 17-valerate
Betamethasone 17-valerate atau turut dikenali sebagai “betamethasone valerate” turut dikelaskan sebagai racun berjadual yang tidak boleh diletakkan dalam produk kosmetik.
Biasanya, betamethasone valerate digunakan dalam ubat untuk merawat pelbagai penyakit kulit seperti ekzema, dermatitis sentuh, alahan atau ruam.
Betamethasone valerate boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mencucuk, gatal, iritasi, kekeringan atau kemerahan. Tambahan itu, bahan ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti penipisan kulit, jerawat, pertumbuhan bulu yang tidak diingini, tanda regangan dan keradangan folikel rambut.[9]
Oleh itu, penggunaan betamethasone valerate hanya dibenarkan dibawah penyeliaan doktor.
11. Hexachlorophene
Hexachlorophene adalah bahan kimia beracun yang turut digunakan dalam produk-produk kosmetik atau penjagaan diri seperti pembersih (cleanser), topeng muka (mask), sabun, losyen atau produk yang lain bagi tujuan melawan jangkitan bakteria berkaitan jerawat.
Hexachlorophene didapati mempunyai kesan toksik dan boleh menembusi kulit manusia. Sekiranya dimakan, ia boleh membawa maut. Sekiranya diambil secara sapuan, ia boleh menyebabkan gejala-gejala yang melibatkan sistem saraf pusat. [10]
Penyerapan bahan ini secara berlebihan melalui kulit atau membran mukosa terutamanya oleh bayi atau pesakit melecur boleh menyebabkan iritasi, loya, muntah, gangguan penglihatan, pening, sawan, koma dan kematian. [11]
Rujukan
- Swenberg, J. A. et al. (2013). Formaldehyde carcinogenicity research: 30 years and counting for mode of action, epidemiology, and cancer risk assessment. Toxicologic pathology.
- U.S. Food & Drug Administration. (2019). 5 Things to Know About Triclosan.
- Weatherly, L. M., & Gosse, J. A. (2017). Triclosan exposure, transformation, and human health effects. Journal of toxicology and environmental health.
- Wani, A. L. et al. (2015). Lead toxicity: a review. Interdisciplinary toxicology.
- IARC Working Group on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans. Some Chemicals Present in Industrial and Consumer Products, Food and Drinking-Water. Lyon (FR): International Agency for Research on Cancer; 2013. (IARC Monographs on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans, No. 101.) DIETHANOLAMINE. Available from: NCBI
- U.S. Food & Drug Administration. (2022). Diethanolamine.
- Golden, R. J. et al. (1997). Chloroform mode of action: implications for cancer risk assessment. Regulatory toxicology and pharmacology.
- Centers for Disease Control and Prevention. Toluene.
- WebMD. Betamethasone Valerate Ointment – Uses, Side Effects, and More.
- Renate D. Kimbrough MD .(1971). Review of the Toxicity of Hexachlorophene. Archives of Environmental Health: An International Journal
- Ellison,D. et al.(2013). Toxic injury of the CNS. Neuropathology.