Sememangnya hidup ini penuh dengan ujian. Kehidupan dunia ini adalah tempat untuk kita diuji. Sama ada kita sabar atau sebaliknya. Untuk menjadi seorang muslim dan manusia yang baik, kita mesti tahu bagaimana untuk redha dengan takdir dan ketentuan yang telah ditetapkan untuk kita.
Mudah untuk dikatakan daripada dilaksanakan tetapi ia tidak mustahil.
Redha membawa maksud menerima sesuatu dengan ikhlas atau dengan kerelaan. Takdir pula adalah apa-apa sahaja yang sudah terlebih dahulu ditentukan oleh Allah kepada seorang hamba-Nya.
Seorang hamba tidak akan terlepas daripada ujian. Berbeza diri seseorang, berbeza juga ujian yang dihadapi. Ada orang diuji dengan kemiskinan, kesusahan, ketiadaan wang ringgit, kesihatan yang merosot, penyakit kronik dan ada juga yang diuji dengan kekayaan, kemewahan serta pangkat.
Sama ada ujian itu dalam bentuk kesusahan atau kesenangan, itulah tanda kasih sayang Allah SWT. Jika kita bandingkan ujian kita dengan ujian yang dihadapi oleh para nabi, sudah tentu perbezaannya umpama langit dan bumi.
Tetapi harus diketahui, semakin berat ujian itu, semakin tinggi kasih sayang Allah kepada seseorang itu.
Sebagai contoh, NAbi Muhammad s.a.w adalah nabi dan rasul yang paling hebat diuji oleh Allah s.w.t dan baginda jugalah kekasih Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”
Surah al-Baqarah : 153
Kadang-kadang kita akan tertanya-tanya, mengapa aku diuji? Kenapa aku yang melakukan perkara yang benar ini terpaksa berdukacita? Sedangkan mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan itu bersuka ria dan berbahagia?
Percayalah setiap ujian yang mendatang itu pasti bukanlah sia-sia. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan sia-sia.
Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan, kesenangan, musibah atau kesakitan, Allah jualah yang lebih mengetahui mengapa kita diuji. Malah, Allah juga menegaskan agar jangan berharap kepada syurga selagi belum diuji.
Jadi, bagaimana untuk terus redha dengan takdir dan ketentuan yang telah ditetapkan ini?
Sebagai seorang muslim, terdapat beberapa panduan yang boleh dijadikan contoh atau pegangan agar kita dapat menyelusuri ranjau kehidupan yang penuh onak duri ini.
1. Lihat Orang Dibawah Kita
Adakalanya kita rasa ujian yang dihadapi oleh kita adalah yang paling teruk. Kita merasakan kitalah yang paling malang dan tidak bernasib baik.
Semua ini boleh berlaku sekiranya kita hanya memandang ke atas, hanya melihat orang yang senang, kaya atau hidup bahagia. Tanpa kita sedari bahawa ada orang yang lebih susah dan lebih teruk diuji daripada kita.
Bagaimana untuk membaiki persepsi kita ini?
- Setiap kali ditimpa musibah atau ujian, yakinkan diri bahawa ujian yang dihadapi adalah ringan dan ada orang yang menghadapi ujian atau kesusahan yang lebih berat daripada kita.
- Sentiasa membantu orang-orang yang susah. Melalui cara ini, kita dapat mengetahui bahawasanya lebih ramai orang yang menghadapi ujian lebih berat daripada kita.
- Yakini ujian yang menimpa diri kita itu bersesuaian dengan kemampuan diri kita dalam menghadapinya.
Melalui cara ini, kita boleh membentuk atau mendidik diri kita agar redha dengan ujian dan ketetapan. Secara tidak langsung, ia boleh membentuk diri kita menjadi seorang insan yang lebih baik.
2. Muhasabah Diri
Bermuhasabah diri adalah satu langkah yang akan membina redha dalam hati kita. Adakalanya, ujian yang datang berpunca daripada kesilapan diri kita sendiri. Ini kerana manusia diberi pilihan dalam menentukan kehidupan mereka, sama ada ingin menuju ke arah kebaikan atau menuju ke arah keburukan.
Ujian atau musibah boleh menjadi satu bentuk teguran oleh Allah SWT untuk kita kembali ke jalan fitrah atau jalan kebaikan. Mungkin kita alpa dengan tipu daya dan permainan dunia sehingga kita lupa hakikat sebenar kejadian kita.
Oleh itu, ambil masa sejenak setiap hari dan bermuhasabahlah diri kita. Lihatlah kembali apa yang telah kita lakukan. Adakah ia membawa kepada kebaikan atau keburukan. Boleh jadi kerana keburukan yang telah kita lakukan, kita diuji dengan ujian ini.
Maka, masih belum terlambat untuk kita berubah. Berubah ke arah yang lebih baik.
3. Sentiasa Bersyukur dan Bersabar
Kadang-kadang ujian sama ada susah atau senang membuatkan kita lupa untuk bersyukur. Lupa untuk bersyukur akan nikmat yang telah kita nikmati sebelum ini. Percayalah, walaupun ketika kita sedang diuji masih ada rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
Kita boleh mengambil iktibar daripada kisah Nabi Ayyub a.s yang diuji oleh Allah s.w.t. Baginda adalah seorang nabi yang memiliki banyak harta seperti haiwan ternakan, hamba sahaya dan tanah yang luas. Baginda juga memiliki ramai anak dan isteri.
Kemudian, baginda diuji oleh Allah dengan nikmat-nikmat ini ditarik satu persatu. Nabi Ayyub a.s. diuji dengan penyakit kronik dan tidak satu pun anggota badannya yang sihat kecuali lisan dan hatinya. Hanya isterinya yang mengambil berat dan menjaganya.
Diringkaskan cerita, setelah sekian lama menderita penyakit itu, isteri Nabi Ayyub berkata kepadanya: “Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.”
Nabi Ayyub a.s. menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.”
Begitulah betapa beratnya ujian dan tingginya sifat sabar serta syukur seorang nabi yang boleh dijadikan pedoman buat kita.
4. Percaya Bahawa Ada Hikmah yang Tersembunyi
Salah satu cara lain bagaimana untuk redha dengan ketentuan atau takdir adalah percaya bahawa apa yang terjadi itu pasti ada hikmah disebaliknya.
Adalah penting untuk kita melihat bahawa setiap ujian yang datang itu bukanlah sesuatu yang menyusahkan atau merosakkan akidah kita.
Ujian itu sebenarnya menuntut kita agar sentiasa kuat dan tabah dalam menghadapinya. Hakikat ujian dan dugaan dalam kehidupan kita adalah bagi Allah melihat siapakah antara kita adalah orang yang benar atau berdusta. Siapakah yang jahat dan siapakah yang menipu.
Hikmah atau kemanisan disebalik sesuatu ujian yang menimpa itu akan hadir setelah kita berjaya mengharungi rintangan tersebut.
5. Berdoa
Doa adalah senjata orang Islam. Mohonlah daripada Allah s.w.t agar diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang menimpa dan dapat menerima dengan redha apa sahaja yang berlaku. Jadikan Allah SWT sebagai tempat bergantung kita agar kita dapat terus bertahan dan tidak berputus asa dengan rahmat-Nya.
Sesungguhnya, seseorang yang mampu redha dengan apa sahaja rintangan,ujian atau ketetapan yang datang kepadanya adalah seorang insan yang hebat. Semoga ia menjadi asbab kebaikan di dunia dan di akhirat.
Rujukan
- Admin PMWP. (2018). Al-Kafi #979: Sakit Nabi Ayyub AS. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. [diakses pada 17 Mac 2021].