Pernahkah anda terfikir sama ada anda boleh meningkatkan tahap IQ anda? Jika ya, bagaimana cara meningkatkan tahap IQ?
Artikel ini berkongsi beberapa cara yang mungkin boleh dilakukan bagi meningkatkan tahap IQ anda.
IQ (Intelligence Quotient) atau darjah kecerdasan direka untuk mengukur tahap kecerdasan seseorang. Walaupun IQ tinggi bukan satu-satunya faktor yang menentukan kecerdasan, ia adalah ukuran biasa yang digunakan untuk menggambarkan potensi seseorang dalam kehidupan dan mendiagnosis ketidakupayaan intelektual tertentu.

Terdapat beberapa perdebatan dalam kalangan saintis mengenai perkara ini. Ada yang berpendapat IQ boleh dipertingkatkan. [1]
Saintis lain pula mengatakan tiada cara yang tepat untuk mengukur sama ada kecerdasan asas anda sebenarnya telah bertambah baik selepas beberapa jenis campur tangan. [2]
Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan bahawa melakukan latihan secara konsisten dalam pelbagai bidang yang diukur dengan ujian IQ mungkin dapat meningkatkan skor IQ anda.
Aktiviti-aktiviti berikut boleh membantu anda menambah baik dalam pelbagai bidang seperti penaakulan, perancangan, penyelesaian masalah dan banyak lagi.
1. Melakukan Aktiviti Memori
Melakukan aktiviti yang melibatkan memori (ingatan) boleh meningkatkan kemahiran penaakulan dan bahasa.
Penaakulan dan bahasa adalah dua perkara yang diukur dalam penilaian kecerdasan. Ini bermakna aktiviti memori boleh membantu meningkatkan kecerdasan.
Antara aktiviti memori yang boleh anda lakukan adalah:
- Bermain susun suai gambar
- Menjawab teka silang kata
- Sudoku
- Padanan kad
2. Sering Membaca
Sering membaca buku atau bahan bacaan bermanfaat yang lain adalah salah satu cara meningkatkan tahap IQ anda.
Malah, manfaat membaca ini juga semakin bertambah apabila buku dijadikan sebahagian daripada aktiviti mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
Kesan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ibu bapa yang membaca buku dengan kuat untuk anak mereka boleh meningkatkan kemahiran bahasa dan kognitif anak mereka. [3]
3. Melakukan Aktiviti Kawalan Eksekutif
Kawalan eksekutif ialah keupayaan untuk mengawal aktiviti kognitif yang kompleks dan fungsi tertib tinggi seperti membuat keputusan, melaraskan perhatian, dan mengatur serta mengurus tugas.
Kawalan eksekutif adalah sebahagian daripada fungsi eksekutif, yang juga termasuk pengurusan dan peraturan eksekutif.
Kajian mendapati bahawa fungsi eksekutif sangat terikat dengan taakulan bendalir iaitu salah satu aspek kecerdasan manusia. [4]
Antara aktiviti yang melibatkan kawalan eksekutif adalah:
- Skrabel
- Belit-belit akal (brain teaser)
4. Melakukan Aktiviti Melibatkan Visual dan Ruang
Melakukan aktiviti melibatkan visual dan ruang juga merupakan cara yang boleh membantu meningkatkan tahap IQ anda.
Sebagai contoh, membaca dan menafsirkan peta melibatkan penaakulan visual-ruang dan pemprosesan.
Kajian mendapati bahawa dengan meningkatkan penaakulan visual-ruang, skor ujian IQ seseorang juga boleh meningkat. Aktiviti kawalan eksekutif dan memori juga turut digunakan untuk membantu meningkatkan penaakulan visual-ruang. [5]
Antara aktiviti yang melibatkan visual dan ruang adalah:
- Model 3-D
- Pagar sesat (maze)
- Prisma terbentang
- Aktiviti sudut pandang
5. Pembelajaran Berterusan
Pembelajaran berterusan tidak kira dalam bentuk apa adalah penting untuk kecerdasan manusia.
Malah, agama Islam sendiri menekankan pembelajaran sehingga ke akhir hayat.
Perkaitan antara pembelajaran dan tahap IQ dapat dilihat dalam satu analisis yang melibatkan peserta lebih daripada 600,000 orang.
Penyelidik mendapati bahawa peserta mengalami peningkatan satu hingga lima mata IQ untuk setiap tahun tambahan pendidikan formal. [6]
6. Menghafal al-Quran
Menghafal al-Quran juga merupakan salah satu cara untuk meningkatkan tahap IQ.
Satu kajian yang dijalankan terhadap pelajar-pelajar tahfiz mendapati terdapat hubung kait yang lemah tetapi ketara antara IQ dan tahap hafazan al-Quran.
Penyelidik menyimpulkan bahawa semakin tinggi tahap hafazan al-Quran akan menyebabkan tahap kecerdasan (IQ) juga semakin meningkat. [7]
7. Bermain Catur
Catur adalah satu permainan yang rumit dan kompleks, ia membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah, meningkatkan tumpuan, dan merangsang kedua-dua belah otak.
Terdapat kajian yang mendapati latihan bermain catur sebanyak 2 kali seminggu selama 2 jam boleh meningkatkan tahap IQ dengan ketara. [8]
Rujukan
- Stankov, L., & Lee, J. (2020). We Can Boost IQ: Revisiting Kvashchev’s Experiment. Journal of Intelligence.
- Haier R. J. (2014). Increased intelligence is a myth (so far). Frontiers in systems neuroscience.
- Weisleder, A. et al. (2018). Reading Aloud and Child Development: A Cluster-Randomized Trial in Brazil. Pediatrics.
- van Aken, L. et al. (2016). Fluid intelligence and executive functioning more alike than different?. Acta neuropsychiatrica.
- Daugherty, A.M. (2018). Multi-modal fitness and cognitive training to enhance fluid intelligence. Intelligence.
- Ritchie, S. J., & Tucker-Drob, E. M. (2018). How Much Does Education Improve Intelligence? A Meta-Analysis. Psychological science.
- Ghazali, A.R. et al. (2019). Penentuan Tahap Logam Berat, Hafazan Al-Quran dan Kecerdasan (IQ) dalam Kalangan Pelajar Tahfiz di Selangor. Jurnal Sains Kesihatan Malaysia.
- Kezia, J. (2016). Chess training improves cognition in children.