Ayat Kursi adalah ayat yang ke-255 dalam surah Al-Baqarah yang selalunya dihafal dan dibaca selepas solat atau masa-masa tertentu.
Ayat Kursi adalah ayat yang paling agung kerana mengisahkan keagungan Allah serta kekuasaan-Nya. Menurut Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi:
“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”
Ayat Kursi

Maknanya:
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
Audio Bacaan Ayat Kursi
Kelebihan Ayat Kursi
Ayat ini mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan sekiranya anda mengamalkannya. Imam al-San’ani ada menjelaskan kenapa ayat Kursi sangat istimewa, menurut beliau:
“Kelebihan ayat Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).”
Selain itu, ayat Kursi juga turut bermanfaat kepada mereka yang mempunyai gangguan kesihatan mental.
1. Ayat Agung
Rasulullah SAW turut mengiktiraf bahawa ayat Kursi adalah satu ayat yang agung.
Diriwayatkan di dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b, sabda Baginda:
“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir.”
HR Muslim
2. Boleh Menjadi Asbab untuk Masuk Syurga
Mengamalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selepas solat boleh menjadi asbab untuk seseorang itu untuk masuk syurga. Ini berdasarkan satu hadis yang bermaksud:
Daripada Abi Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”.
HR al-Nasa’ie dan Thabarani
3. Mendapat Perlindungan daripada Gangguan Syaitan
Kelebihan membaca ayat Kursi juga boleh melindungi pembacanya daripada gangguan syaitan.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar dan masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari gangguan dan godaan syaitan, kejahatan manusia atau binatang buas yang boleh memudaratkan diri dan ahli keluarganya.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi sebelum tidur, maka syaitan tidak akan berani mendekatinya.
Manakala, sesiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar daripada rumahnya.
“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.”
Tafsir Ibn Kathir
4. Boleh Mengurangkan Keresahan (Anxiety)
Terdapat juga kajian-kajian yang melaporkan bahawa mendengar bacaan ayat al-Quran termasuklah ayat Kursi boleh mengurangkan tahap keresahan atau kebimbangan (anxiety) bagi kebanyakan orang seperti pelajar, atlet, banduan, wanita hamil, wanita bersalin atau pesakit ICU.
5. Dimurahkan Rezeki dan Dinaikkan Darjat
Mengikut keterangan dari kitab Asraarul Mufidah sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
Rujukan
- Ahmad Ayoup, M.M. (2016). IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-136: KELEBIHAN MEMBACA AYAT AL-KURSI. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.