Terdapat persoalan dan salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai autisme dan ubat-ubatan. Ada yang berpandangan bahawa ubat menjadi punca kepada autisme dan mungkin juga ada yang kurang memahami kegunaan ubat kepada penghidap autisme.
Artikel ini akan menjelaskan kepada anda mengenai salah faham tentang kaitan antara autisme dan ubat-ubatan serta kegunaannya kepada penghidap autisme.
Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD) ialah masalah gangguan perkembangan neurologi yang mempengaruhi komunikasi, interaksi sosial dan pola tingkah laku individu.

Secara umumnya, ASD ialah diagnosis bagi individu yang menghidap autisme. ASD dianggap sebagai satu spektrum kerana gejala dan tahap keseriusan adalah berbeza antara individu yang mengalaminya.
Berdasarkan data terkini, diagnosis ASD telah meningkat secara ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini dengan anggaran 1 dalam 100 kanak-kanak di seluruh dunia telah didiagnosis dengan ASD.
Situasi yang sama juga dapat dilihat di Malaysia, iaitu statistik kanak-kanak didiagnosis dengan ASD meningkat daripada 6 dalam 1000 kanak-kanak pada tahun 2018 kepada 9 dalam 1000 kanak-kanak pada tahun 2022.
Peningkatan bilangan kes ASD yang dilaporkan berkemungkinan berpunca daripada timbulnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk mendapatkan pengesanan awal dan diagnosis oleh ahli profesional kesihatan.
Punca dan Gejala Autisme
Punca sebenar autisme masih belum diketahui secara tepat tetapi kebanyakan pakar berpendapat bahawa autisme berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran.
Mutasi genetik telah dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk seseorang mengalami autisme. Terdapat kemungkinan besar untuk faktor genetik diwarisi oleh seseorang yang mempunyai sejarah autisme dalam keluarga.
Selain itu, faktor persekitaran seperti komplikasi semasa kehamilan, kelahiran pramatang, jantina (autisme lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki) dan ibu atau bapa yang lanjut usia ketika kelahiran turut dikaitkan dengan peningkatan risiko autisme.
Gejala-gejala autisme berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain. Namun begitu, secara umumnya gejala autisme merangkumi:
- Kesukaran dalam interaksi sosial.
- Kesukaran memahami dan menggunakan komunikasi lisan dan bukan lisan.
- Minat yang terhad.
- Pergerakan atau tingkah laku yang berulang-ulang.
Kanak-kanak yang menghidap autisme mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami isyarat sosial seperti ekspresi wajah dan intonasi suara menyebabkan mereka sukar untuk membina hubungan yang normal dengan orang lain.
Sesetengah individu juga mungkin mengalami masalah deria yang menyebabkan sensitiviti terhadap cahaya, bunyi atau tekstur tertentu.
Autisme juga dikaitkan dengan cabaran dalam pembelajaran. Sebilangan individu yang menghidap autisme mungkin mempunyai kecerdasan normal atau tinggi sementara sebilangan lain mungkin mengalami ketidakupayaan pembelajaran.
Oleh sebab itu, setiap pesakit autisme memerlukan pendekatan rawatan dan intervensi yang berbeza serta bersesuaian dengan keperluan mereka.
Salah Faham Tentang Kaitan Antara Autisme dengan Ubat-ubatan
Salah faham tentang punca autisme dan ubat-ubatan telah menyebabkan penyebaran mitos yang mengelirukan serta memberi kesan terhadap kualiti hidup individu yang mengalami autisme dan keluarga mereka.
Terdapat banyak salah faham tentang kaitan autisme dengan ubat-ubatan, antaranya:
1. Vaksin Campak, Beguk dan Rubela (MMR)
Salah satu mitos yang popular ialah dakwaan bahawa vaksin terutamanya vaksin MMR boleh menyebabkan autisme.
Idea ini berpunca daripada satu kajian yang kononnya menunjukkan perkaitan antara vaksin MMR dengan autisme.
Walau bagaimanapun, penerbitan kajian tersebut telah ditarik balik setelah didapati melakukan pelbagai salah laku, termasuklah penipuan data.
Setakat ini, tiada kajian lain yang berjaya membuktikan sebarang hubungan antara vaksin dengan autisme.
Sebaliknya, kajian saintifik menunjukkan bahawa kadar autisme adalah sama dalam kalangan kanak-kanak yang menerima vaksin atau yang tidak menerima vaksin.
Oleh sebab itu, ibu bapa dan masyarakat hendaklah mendapatkan maklumat yang sahih agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
2. Oxytocin
Satu lagi ubat yang sering dikaitkan dengan risiko autisme ialah oxytocin yang digunakan untuk mempercepat proses kelahiran.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian yang telah dijalankan tidak dapat membuktikan bahawa pendedahan kepada dos tinggi ubat oxytocin semasa kelahiran mungkin mempengaruhi perkembangan neurologi bayi.
Kajian ulasan sistematik yang diterbitkan pada tahun 2019 pula menunjukkan bahawa hubung kait antara penggunaan oxytocin dengan risiko autisme adalah lemah.
Ahli profesional kesihatan perlu menilai manfaat dan risiko sesuatu rawatan sebelum membuat keputusan agar penggunaanya dapat memberi manfaat yang maksimum di samping mengurangkan risiko kesan yang tidak diingini.
3. Ubat-ubatan Lain
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan ubat tertentu semasa kehamilan berkemungkinan meningkatkan risiko autisme kepada janin yang sedang berkembang.
Ubat-ubatan tersebut termasuklah asid valproik yang digunakan untuk rawatan epilepsi, paracetamol pada dos tinggi secara kerap dan ubat tahan sakit tertentu.
Penyalahgunaan bahan terlarang seperti kanabis turut dikaitkan dengan kemungkinan peningkatan risiko gangguan perkembangan neurologi.
Namun demikian, kajian-kajian ini masih tidak dapat membuktikan secara langsung bahawa ubat-ubatan yang digunakan ialah punca sebenar autisme.
Kegunaan Ubat-ubatan untuk Pesakit Autisme
Autisme tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan tetapi terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang dapat membantu dalam pengurusan gejala berkaitan autisme.
Ubat-ubatan ini bertujuan untuk mengawal tingkah laku agresif, hiperaktif, keresahan atau gangguan tidur serta mengelakkan serangan sawan yang mungkin dialami oleh individu yang menghidap autisme.
Beberapa jenis ubat yang biasa digunakan dalam pengurusan autisme adalah:
- Antipsikotik seperti risperidone dan aripiprazole untuk mengurangkan tingkah laku agresif.
- Ubat daripada kumpulan selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti fluoxetine dan sertraline digunakan untuk mengurangkan gejala kebimbangan dan kemurungan.
- Ubat yang digunakan dalam rawatan attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) seperti methylphenidate dapat membantu masalah hiperaktif dan kesukaran memberi tumpuan.
- Ubat antiepilepsi seperti asid valproik dan lamotrigine untuk mengelakkan serangan sawan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, walaupun faktor genetik dan persekitaran telah dikaitkan dengan autisme, namun tiada satu faktor pun yang dapat dikenal pasti sebagai punca utama.
Salah faham yang berleluasa seperti kaitan antara vaksin dengan autisme perlu ditangani sewajarnya dengan bukti saintifik yang lebih kukuh.
Selain itu, pengurusan autisme yang efektif memerlukan pendekatan secara holistik iaitu dengan menggabungkan penggunaan ubat-ubatan untuk mengawal beberapa gejala tertentu, terapi tingkah laku, terapi pertuturan, terapi cara kerja dan intervensi pendidikan mengikut keperluan individu yang menghidap autisme.
Kesedaran masyarakat tentang autisme perlu terus dipertingkatkan agar individu yang menghidap autisme mendapat sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Dr. Fahmi Hassan
Dr. Fahmi Bin Hassan merupakan seorang Pegawai Farmasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor.