Asthenozoospermia ialah keadaan perubatan di mana pergerakan sperma (motiliti) terganggu atau berkurangan.
Dalam istilah mudah, ini bermaksud sebahagian besar sperma lelaki tidak berenang dengan baik. Memandangkan motiliti penting untuk sperma bergerak ke arah ovum dan menyuburkannya, keadaan ini boleh menyebabkan masalah kesuburan.
Asthenozoospermia merupakan salah satu penyebab utama ketidaksuburan lelaki dan sering dikenal pasti melalui ujian analisis air mani.
Artikel ini akan menjelaskan secara terperinci tentang apa itu asthenozoospermia, puncanya, cara ia didiagnosis dan apakah pilihan rawatan yang tersedia.
Apa Itu Asthenozoospermia?
Motiliti sperma merujuk kepada keupayaan sperma untuk bergerak dengan berkesan. Sperma yang sihat biasanya berenang dalam garis lurus atau dalam bulatan besar untuk sampai ke ovum. Dalam kes asthenozoospermia, pergerakan ini terjejas.
Terdapat dua jenis motiliti sperma yang utama iaitu:
- Motiliti progresif – sperma bergerak aktif dan dalam garis lurus.
- Motiliti tidak progresif atau lembap – sperma bergerak tetapi tidak ke hadapan.
Menurut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), asthenozoospermia didiagnosis apabila kurang daripada 40% sperma mempunyai motiliti atau kurang daripada 32% menunjukkan motiliti progresif.
Keadaan ini boleh dikategorikan kepada:
- Ringan: Pengurangan sedikit dalam motiliti.
- Sederhana: Lebih separuh daripada sperma tidak bergerak.
- Teruk: Kebanyakan sperma tidak bergerak langsung atau hanya bergerak sedikit.
Apakah Punca Asthenozoospermia?
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan masalah kesihatan ini, ia termasuklah gaya hidup, faktor persekitaran, masalah perubatan dan genetik:
1. Faktor Gaya Hidup dan Persekitaran
- Merokok, pengambilan alkohol dan penggunaan dadah.
- Pendedahan kepada bahan toksik seperti racun perosak, logam berat dan bahan kimia industri.
- Suhu panas berlebihan di kawasan alat sulit seperti daripada sauna, tab mandi panas atau pakaian dalam yang ketat.
- Obesiti yang boleh mengganggu hormon dan kualiti air mani.
- Kekurangan nutrien terutamanya zink, selenium dan antioksidan seperti vitamin C dan E.
2. Keadaan Perubatan
- Varikosele iaitu salur darah yang membesar di dalam skrotum yang meningkatkan suhu dan boleh merosakkan sperma.
- Jangkitan seperti STI atau jangkitan saluran kencing.
- Ketidakseimbangan hormon, contohnya testosteron rendah.
- Diabetes dan penyakit kronik lain yang menjejaskan fungsi saraf dan hormon.
- Masalah autoimun, di mana badan menghasilkan antibodi terhadap sperma sendiri.
3. Faktor Genetik dan Struktur
- Kecacatan pada flagella (ekor sperma) seperti dalam sindrom Kartagener atau primary ciliary dyskinesia.
- Kecacatan kromosom yang menjejaskan perkembangan atau pergerakan sperma.
Bagaimana Asthenozoospermia Didiagnosis?
Keadaan ini biasanya dikenal pasti melalui analisis air mani yang menilai:
- Kiraan sperma (kepekatan)
- Morfologi (bentuk)
- Motiliti (pergerakan)
Analisis air mani turut mengredkan motiliti sperma seperti berikut:
Gred | Jenis Motiliti Sperma |
---|---|
0 | Tiada motiliti |
1 | Lembap; tiada pergerakan progresif |
2 | Perlahan; merayau-rayau dengan kemajuan kehadapan |
3 | Bergerak dalam garis lurus dengan kelajuan sederhana |
4 | Bergerak dalam garis lurus dengan kelajuan tinggi |
Ujian ini dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dengan selang masa, untuk mengesahkan keputusan. Pemeriksaan tambahan mungkin termasuk:
- Ujian hormon (FSH, LH, testosteron)
- Ultrabunyi skrotum untuk mengenal pasti varikosele
- Ujian genetik jika ada tanda kecacatan struktur
- Ujian antibodi antisperma untuk menyemak masalah imun
Bolehkah Asthenozoospermia Menyebabkan Ketidaksuburan?
Ya. Sperma perlu bergerak untuk sampai ke ovum. Jika pergerakannya lemah, kebarangkalian untuk menyuburkan ovum secara semula jadi sangat rendah.
Namun, asthenozoospermia tidak bermaksud lelaki itu mandul sepenuhnya. Ramai lelaki dengan keadaan ini masih boleh mempunyai anak, terutamanya dengan bantuan rawatan perubatan.
Pilihan Rawatan
Rawatan bergantung kepada tahap keterukan dan punca masalah. Antara pendekatan yang biasa digunakan:
1. Perubahan Gaya Hidup
Selalunya langkah yang paling awal disarankan. Lelaki digalakkan untuk:
- Berhenti merokok dan alkohol
- Elakkan pendedahan haba di kawasan sulit
- Bersenam secara konsisten dan turunkan berat badan jika perlu
- Amalkan pemakanan sihat kaya dengan antioksidan
- Kurangkan tekanan
2. Rawatan Perubatan
- Antibiotik untuk jangkitan
- Terapi hormon bagi ketidakseimbangan
- Pembedahan varikosele yang boleh membantu dalam sesetengah kes
3. Pengambilan Suplemen
Beberapa kajian menunjukkan suplemen tertentu boleh membantu:
- Coenzyme Q10
- L-carnitine
- Zink
- Selenium
- Vitamin E dan C
Suplemen bukan ubat ajaib, tetapi boleh menyokong kesihatan sperma secara keseluruhan.
4. Teknologi Reproduktif Berbantu (ART)
Jika motiliti kekal rendah, ART boleh menjadi pilihan:
- Inseminasi (Permanian) intrauterus (IUI): Sperma dimasukkan terus ke dalam rahim.
- Persenyawaan in vitro (IVF): Sperma dan ovum dicantumkan di makmal.
- Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI): Sperma tunggal disuntik terus ke dalam ovum. Ini adalah rawatan paling berkesan untuk asthenozoospermia yang teruk.
Prognosis dan Harapan
Prognosis bergantung pada punca dan sejauh mana masalah itu boleh dirawat. Dalam kes ringan, perubahan gaya hidup dan rawatan boleh memulihkan kesuburan. Dalam kes lebih serius, teknologi ART seperti ICSI sangat membantu.
Dengan kemajuan sains reproduktif, walaupun lelaki dengan motiliti sperma yang sangat rendah kini mempunyai peluang yang realistik untuk menjadi bapa.
Kesimpulan
Asthenozoospermia adalah penyebab biasa ketidaksuburan lelaki tetapi ia boleh dirawat. Diagnosis awal, perubahan gaya hidup, rawatan perubatan dan penggunaan teknologi moden boleh meningkatkan peluang kehamilan dengan ketara.
Jika anda atau pasangan menghadapi masalah untuk hamil, ujian kesuburan menyeluruh – termasuk analisis air mani amat disarankan. Tindakan awal memberi lebih banyak pilihan dan peluang.
Masalah kesuburan bukan hanya isu wanita atau lelaki semata-mata. Ia adalah isu bersama yang memerlukan sokongan, komunikasi dan tindakan yang bijak.
Rujukan
- World Health Organization. (2021). WHO laboratory manual for the examination and processing of human semen (6th ed.). Geneva: World Health Organization.
- Leaver R. B. (2016). Male infertility: an overview of causes and treatment options. British journal of nursing.
- Tremellen K. (2008). Oxidative stress and male infertility–a clinical perspective. Human reproduction update.
- Lobo, N. & Satchi, M. (2019). The diagnosis and management of men with low sperm motility. Trends in Urology and Men’s Health.