Apnea tidur pusat (central sleep apnea) adalah gangguan di mana pernafasan anda berulang kali berhenti dan bermula semasa tidur.
Apnea tidur pusat berlaku kerana otak anda tidak menghantar isyarat yang betul kepada otot yang mengawal pernafasan anda. Keadaan ini berbeza daripada apnea tidur obstruktif, di mana anda tidak boleh bernafas secara normal kerana halangan saluran pernafasan atas.
Tetapi, anda boleh mengalami kedua-dua jenis apnea ini dan dipanggil apnea tidur bercampur.
Apnea tidur pusat biasanya berlaku kerana penyakit yang serius, terutamanya yang menjejaskan bahagian otak yang mengawal pernafasan. Bagi bayi yang sangat muda, apnea tidur pusat boleh menyebabkan jeda dalam pernafasan yang boleh bertahan selama 20 saat.
Punca dan Jenis-jenis Apnea Tidur Pusat
Apnea tidur pusat berlaku apabila otak anda gagal menghantar isyarat kepada otot pernafasan anda.
Apnea tidur pusat boleh disebabkan oleh beberapa keadaan yang menjejaskan keupayaan batang otak untuk mengawal pernafasan anda.
Batang otak adalah bahagian otak yang menghubungkan otak ke saraf tunjang anda dan mengawal banyak fungsi seperti kadar denyutan jantung dan pernafasan.
Punca atau penyebab apnea ini berbeza mengikut jenis apnea tidur pusat yang anda alami. Antaranya adalah:
- Pernafasan Cheyne-Stokes: Apnea tidur pusat jenis ini adalah paling lazim berkaitan dengan strok atau kegagalan jantung kongestif. Pernafasan Cheyne-Stokes dicirikan oleh peningkatan beransur-ansur dan kemudian penurunan dalam usaha pernafasan dan aliran udara.
- Apnea dicetus drug: Mengambil ubat jenis opioid atau morfin boleh menyebabkan pernafasan anda menjadi tidak teratur, bertambah dan berkurang dalam corak biasa, atau berhenti buat sementara waktu.
- Pernafasan berkala altitud tinggi: Corak pernafasan Cheyne-Stokes boleh berlaku jika anda berada di altitud yang sangat tinggi. Perubahan oksigen pada altitud ini adalah sebab bagi pernafasan pantas dan pernafasan yang berselang-seli.
- Apnea tidur pusat yang timbul akibat rawatan: Sesetengah orang dengan apnea tidur obstruktif mengalami apnea tidur pusat semasa menggunakan tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) untuk rawatan apnea tidur mereka. Keadaan ini dikenali sebagai apnea tidur pusat yang timbul akibat rawatan dan merupakan gabungan apnea tidur obstruktif dan pusat.
- Apnea tidur pusat dicetuskan keadaan perubatan: Beberapa keadaan perubatan, termasuk penyakit buah pinggang peringkat akhir dan strok, boleh menimbulkan apnea tidur pusat bagi varieti bukan Cheyne-Stokes.
- Idiopatik apnea tidur pusat: Punca apnea tidur pusat jenis ini tidak diketahui.
Gejala-gejala Apnea Tidur Pusat
Gejala-gejala dan tanda apnea tidur pusat yang selalunya berlaku adalah seperti berikut:
- Episod tidak bernafas atau corak pernafasan yang tidak normal semasa tidur
- Sukar untuk tiduk (insomnia)
- Terjaga secara tiba-tiba disertai dengan sesak nafas
- Mengantuk yang berlebihan pada siang hari
- Sukar untuk memberi tumpuan
- Sakit kepala pada waktu pagi
- Perubahan mood
- Berdengkur
Walau bagaimanapun, berdengkur mungkin tidak begitu ketara berbanding apnea tidur obstruktif.
Siapakah Golongan Berisiko?
Terdapat faktor-faktor tertentu yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap apnea tidur pusat. Antaranya adalah:
- Lelaki: Lelaki lebih berisiko berbanding wanita
- Berusia 60 ke atas: Apnea tidur jenis ini lebih lazim berlaku kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
- Mempunyai masalah jantung: Mereka yang mempunyai denyutan jantung tidak teratur atau otot jantung tidak mengepam darah yang mencukupi untuk kegunaan badan (kegagalan jantung kongestif) adalah golongan berisiko tinggi.
- Strok, tumor otak atau luka pada struktur batang otak: Keadaan otak ini boleh menjejaskan keupayaan otak untuk mengawal pernafasan. Mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti ini adalah golongan berisiko.
- Menggunakan opioid: Mereka yang mengambil ubat jenis opioid atau morfin berisiko tinggi untuk mendapat apnea jenis ini.
- Pendaki: Mereka yang selalu mendaki ke tempat yang beraltitud tinggi dan tidur di altitud tinggi berisiko mengalami apnea jenis ini.
- Pengguna CPAP: Sesetengah orang yang menggunakan tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) boleh membentuk apnea jenis ini.
Rawatan
Rawatan bergantung pada punca apnea yang dialami. Beberapa rawatan umum yang boleh membuatkan anda berasa lebih baik adalah:
- Mengekalkan berat badan yang sihat
- Menghindari alkohol dan pil tidur
- Tidur secara mengiring ke kanan berbanding berbaring
- Gunakan semburan hidung atau strip pernafasan bagi membenarkan pengaliran udara sekiranya anda mempunyai masalah sinus atau hidung tersumbat
- Dapatkan tidur yang mencukupi
Selain itu, beberapa bentuk rawatan lain yang mungkin diberikan adalah:
- Merawat masalah kesihatan yang berkaitan: Contohnya merawat kegagalan jantung boleh membantu apnea tidur ini.
- Mengurangkan ubat-ubatan opioid: Sekiranya ubat-ubatan jenis yang menjadi punca apnea, maka doktor anda akan mengurangkan dos anda secara berperingkat.
- Menggunakan CPAP: Penggunaan CPAP boleh mencegah penutupan laluan udara yang boleh mencetuskan apnea tidur pusat.
- Adaptive servo-ventilation (ASV): Sekiranya CPAP tidak berkesan, anda mungkin diberikan ASV. Tidak seperti CPAP, ASV melaraskan jumlah tekanan nafas demi nafas semasa penyedutan untuk melancarkan corak pernafasan anda.
- Bilevel positive airway pressure (BPAP): Seperti ASV, BPAP memberikan tekanan apabila anda menarik nafas dan jumlah tekanan yang berbeza apabila anda menghembus nafas. Tidak seperti ASV, jumlah tekanan semasa penarikan nafas adalah tetap dan bukannya berubah.
- Oksigen tambahan: Menggunakan oksigen tambahan semasa anda tidur mungkin membantu jika anda mengalami apnea tidur jenis ini.
- Ubat-ubatan: Ubat-ubatan seperti acetazolamide boleh digunakan untuk merangsang pernafasan pada orang yang mengalami apnea tidur jenis ini.
Rawatan menggunakan ASV dan BPAP tidak disarankan kepada pesakit yang menghidap kegagalan jantung.
Komplikasi
Apnea tidur pusat boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti:
- Kelesuan
- Kegagalan jantung
- Serangan jantung
- Denyutan jantung tidak teratur
- Tekanan darah tinggi
Rujukan
- Ratini, M. (2022). Central Sleep Apnea. WebMD
- Mayo Clinic Staff. (2021). Central Sleep Apnea. MayoClinic
- Rana AM, Sankari A. Central Sleep Apnea. [Updated 2022 Apr 3]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI