Apnea tidur kanak-kanak ialah gangguan tidur di mana pernafasan anak anda terhenti seketika semasa mereka tidur.
Lazimnya, terdapat 2 jenis apnea tidur yang menjejaskan kanak-kanak iaitu apnea tidur obstruktif dan apnea tidur pusat.
Apnea tidur obstruktif disebabkan oleh hadangan di dalam tekak atau hidung.

Manakala, apnea tidur pusat pula disebabkan oleh bahagian otak yang bertanggungjawab kepada pernafasan tidak berfungsi dengan betul.
Apakah Gejala-gejala atau Simptom-simptom Apnea Tidur Kanak-kanak?
Kanak-kanak yang menghidap apnea tidur selalunya berdengkur dengan kuat (bukan yang perlahan dan comel) atau berhenti bernafas atau tercungap-cungap seketika semasa tidur.
Selain itu, mereka juga mungkin mengalami gejala-gejala seperti berikut:
- Batuk atau tercekik semasa tidur
- Bernafas melalui mulut
- Kencing malam
- Tidur gerun
- Tidur dalam posisi yang pelik
Sekiranya anak anda tidak mendapatkan tidur yang nyenyak pada waktu malam akibat gangguan ini, mereka boleh mengalami gejala-gejala pada waktu pagi.
Antara gejala-gejala tersebut adalah:
- Kelesuan
- Sukar untuk bangun pagi
- Mengantuk
- Tertidur
Bayi atau kanak-kanak kecil yang menghidap apnea tidur mungkin tidak berdengkur, terutamanya jika mereka menghidap apnea tidur pusat.
Maka, satu-satunya tanda atau gejala adalah sukar untuk tidur atau tidur terganggu.
Punca yang Menyebabkan Apnea Tidur Dalam Kalangan Kanak-kanak
Bagi apnea tidur obstruktif, otot di dalam tekak runtuh semasa kanak-kanak tersebut tidur, ia menyebabkan mereka sukar bernafas.
Bagi sesetengah kanak-kanak, apnea tidur obstruktif boleh disebabkan pembesaran tonsil dan adenoid.
Tisu tambahan boleh menyekat saluran udara mereka sepenuhnya atau sebahagiannya.
Apnea pusat pula berlaku apabila otot yang mengawal pernafasan gagal diaktifkan. Ia jarang berlaku pada kanak-kanak di luar tempoh baru lahir.
Faktor Risiko
Beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko kepada apnea tidur adalah:
- Obesiti
- Sindrom Down
- Palsi serebral
- Kelahiran pramatang
- Penyakit sel sabit
- Penyakit neuromuscular
- Keturunan
Bagaimana Apnea Tidur Kanak-kanak Dirawat
Doktor atau ahli profesional kesihatan akan berkerjasama dengan anda bagi mencari rawatan paling sesuai.
Antara pilihan rawatan adalah:
Ubat-ubatan
Ubat steroid hidung seperti fluticasone dan budesonide mungkin boleh mengurangkan gejala-gejala apnea tidur.
Pembedahan
Pembedahan pembuangan tonsil dan adenoid boleh membantu sekiranya apnea tidur yang dialami berada di peringkat sederhana hingga teruk.
Terapi Tekanan Salur Udara Positif Berterusan (CPAP)
Terapi ini melibatkan penggunaan sebuah mesin kecil yang meniup udara dengan lembut melalui tiub.
Tiub ini dilekatkan pada topeng yang dipakaikan di hidung atau hidung dan mulut anak anda.
Mesin ini menghantar udara bertekanan ke bahagian belakang tekak bagi memastikan saluran udara anak anda terbuka.
Perkakas Mulut
Perkakas mulut seperti peranti gigi atau pelekap mulut mungkin disarankan.
Peranti ini boleh membantu mengembangkan lelangit dan saluran hidung.
Ia juga mungkin menggerakkan rahang bawah dan lidah anak anda ke hadapan untuk memastikan saluran pernafasan atas anak anda terbuka.
Perubahan Gaya Hidup
Sentiasa bersenam boleh membantu membuka saluran udara anak anda secara semula jadi.
Tambahan lagi, perubahan dari segi pemakanan anak anda boleh membantu mereka mencapai BMI yang sesuai untuk usia mereka.
Apakah yang Boleh Saya Jangkakan Jika Anak Saya Mengalami Apnea Tidur?
Sekiranya dirawat, gejala-gejala apnea tidur kanak-kanak boleh hilang dan tidak mempunyai kesan jangka panjang.
Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan anak anda.
Sesetengah kanak-kanak akan mengalami gejala-gejala yang berlarutan apabila usia mereka meningkat.
Adakah Apnea Tidur Kanak-kanak Berbahaya?
Apnea tidur kanak-kanak yang tidak dirawat boleh menjadi bahaya dan membawa kepada komplikasi seperti:
- Cabaran pertumbuhan dan perkembangan.
- Hilang kawalan pundi kencing
- Penyakit jantung dan paru-paru
- ADHD
Selain itu, ia juga mungkin menjejaskan emosi, tingkah laku dan prestasi akademik anak anda.
Rujukan
- Gouthro K, Slowik JM. Pediatric Obstructive Sleep Apnea. [Updated 2023 May 1]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Cleveland Clinic Medical Professional. (2023). Obstructive Sleep Apnea in Children. Cleveland Clinic.
- Mayo Clinic Staff. (2023). Pediatric Obstructive Sleep Apnea. MayoClinic.