Apa itu Apigenin?
Apigenin ialah salah satu sebatian flavonoid yang banyak terdapat dalam tumbuhan. Flavonoid ialah sebatian fitokimia yang terdapat secara semula jadi dalam tumbuhan.
Apigenin biasanya wujud sebagai glikosida iaitu sebatian yang mengandungi molekul karbohidrat dan dapat dihidrolisiskan menjadi gula dan komponen bukan gula.
Apa yang membuatkan apigenin ini sebagai penting dan bermanfaat adalah ia boleh bertindak sebagai antioksidan di dalam badan manusia.

Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Terdapat banyak kajian yang dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya menunjukkan bahawa apigenin mempunyai banyak nilai dan potensi yang baik untuk kesihatan badan dan juga perubatan.
Sebagai contoh, ciri-ciri antioksidannya boleh menjadikan apigenin sebagai agen terapeutik yang boleh membantu merawat penyakit seperti keradangan, autoimun, penyakit neurodegeneratif dan sesetengah jenis kanser.
Khasiat dan Kebaikan Apigenin
Terdapat banyak kajian yang dijalankan menunjukkan apigenin mempunyai banyak potensi dan manfaat kepada kesihatan.
Antara khasiat dan kebaikan apigenin tersebut adalah:
1. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Apigenin didapati boleh membantu mengawal paras gula darah.
Ciri-ciri antidiabetes sebatian ini disumbang oleh keupayaannya untuk merencatkan aktiviti α-glukosida iaitu enzim yang terlibat dalam mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas, meningkatkan perembesan insulin, meneutralkan radikas bebas dan mencegah komplikasi diabetes. [1, 2, 3]
2. Boleh Merawat dan Mencegah Penyakit Alzheimer
Apigenin juga dilihat boleh membantu merawat dan mencegah penyakit neurodegenaratif seperti penyakit Alzheimer.
Satu kajian semula pada tahun 2018 turut membincangkan bukti-bukti kajian terhadap haiwan dan kajian klinikal yang mendedahkan bahawa sebatian apigenin mempunyai ciri-ciri perlindungan neuro terhadap penyakit Alzheimer. [4]
3. Boleh Merawat dan Mencegah Amnesia
Selain itu, apigenin juga didapati boleh membantu merawat dan mencegah amnesia iaitu keadaan kehilangan daya ingatan.
Satu kajian terhadap haiwan yang dicetuskan dengan amnesia mendapati pengambilan apigenin boleh meningkatkan daya ingatan dan pembelajaran.
Tambahan lagi, sebatian antioksidan ini turut menyediakan perlindungan terhadap neurovaskular (saluran darah ke otak dan saraf tunjang). [5]
4. Boleh Membantu Mengurangkan Gejala Kecelaruan Keresahan
Teh chamomile adalah salah satu sumber yang kaya dengan kandungan apigenin.
Satu kajian klinikal yang melibatkan 179 pesakit kecelaruan keresahan menyeluruh (generalized anxiety disorder) mendapati pengambilan ekstrak chamomile boleh mengurangkan gejala-gejala kecelaruan keresahan menyeluruh yang sederhana hingga teruk.
Walau bagaimanapun, rawatan menggunakan ekstrak chamomile ini tidak mengurangkan kadar relaps (kemunculan semula gejala penyakit) dengan ketara. [6]
5. Boleh Membantu Mengatasi Masalah Tidur (Insomnia)
Insomnia ialah gangguan tidur yang boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang. Sekiranya tidak diatasi, ia juga boleh menjejaskan kesihatan.
Satu kajian yang melibatkan 34 orang pesakit insomnia kronik mendapati pengambilan ekstrak bunga chamomile yang mengandungi 2.5 mg apigenin mempunyai faedah yang sederhana terhadap fungsi pada siang hari serta mengurangkan kependaman tidur dan terjaga pada waktu malam. [7]
6. Bersifat Antikanser
Adalah diketahui bahawa pengambilan flavonoid yang tinggi daripada sayur-sayuran dan buah-buahan boleh mengurangkan risiko kanser.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati apigenin boleh merencatkan perkembangan kanser prostat dengan mengurangkan jumlah tumor prostat dengan ketara serta menghapuskan sepenuhnya penularan sel-sel kanser pada organ jauh. [8]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan turut mendapati gabungan antara apigenin dan imunoterapi bermanfaat untuk merawat kanser yang sudah teruk. [9]
7. Boleh Membantu Mengurangkan Sakit Sendi Lutut
Di samping itu, terdapat juga kajian yang mendapati apigenin boleh membantu mengurangkan sakit sendi lutut (osteoartritis).
Minyak chamomile yang kaya dengan apigenin yang digunakan secara sapuan 3 kali sehari selama 3 minggu berjaya mengurangkan keperluan untuk ubat tahan sakit (paracetamol) dan menambah baik fungsi fizikal dan mengurangkan kekakuan sendi. [10]
8. Baik untuk Kesihatan Kulit
Apigenin juga turut didapati bermanfaat kepada kesihatan kulit.
Satu kajian semula turut membincangkan bahawa terdapat kajian-kajian praklinikal yang menyokong kesan kebaikan apigenin dalam mengurangkan kerosakan kulit akibat sinaran UV, vitiligo, dematitis, luka, penuaan kulit dan kanser kulit. [11]
Kesan kebaikan ini dipercayai disumbang oleh ciri-ciri antiradang dan antioksidan apigenin.
Sumber Makanan
Apigenin boleh diperolehi daripada makanan dan minuman berikut:
- Parsli (parsley)
- Teh chamomile atau ekstrak chamomile
- Bawang besar
- Sayur bayam
- Daun ketumbar
- Daun taim (thyme)
- Oregano
- Selasih
- Saderi
- Buah oren
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Apigenin dianggap selamat apabila diambil dalam jumlah normal melalui diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan herba.
Jika anda mengalami ketidakselesaan perut selepas mengambil ekstrak chamomile, yang kadang-kadang diambil kerana tahap apigenin yang tinggi, maka hentikan penggunaannya serta-merta.
Produk sapuan yang mengandungi apigenin boleh menyebabkan kerengsaan kulit pada sesetengah orang, jadi jika anda mengalami sebarang reaksi buruk, hentikan penggunaan produk.
Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami sepenuhnya keselamatan dos apigenin yang tinggi.
Sebelum menggunakan ekstrak atau suplemen apigenin, sila dapatkan nasihat doktor atau ahli profesional kesihatan terlebih dahulu.
Rumusan
Apigenin ialah sebatian flavonoid daripada subkelas flavon yang turut bertindak sebagai antioksidan dalam badan.
Kajian-kajian mendapati apigenin mempunyai banyak khasiat dalam membantu mengawal paras gula darah, merawat penyakit Alzheimer, mengurangkan gejala kecelaruan keresahan, merawat kanser dan lain-lain.
Sebatian ini boleh didapati daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan herba. Justeru itu, amalan pemakanan yang tinggi dengan makanan-makanan ini boleh membekalkan apigenin yang diperlukan oleh badan anda.
Rujukan
- Wang, Q. Q. et al. (2014). Synthesis, nitric oxide release, and α-glucosidase inhibition of nitric oxide donating apigenin and chrysin derivatives. Bioorganic & medicinal chemistry.
- Shay, J. et al. (2015). Molecular Mechanisms and Therapeutic Effects of (-)-Epicatechin and Other Polyphenols in Cancer, Inflammation, Diabetes, and Neurodegeneration. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Pamunuwa, G. et al. (2016). Antidiabetic Properties, Bioactive Constituents, and Other Therapeutic Effects of Scoparia dulcis. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Nabavi, S. F. et al. (2018). Apigenin as neuroprotective agent: Of mice and men. Pharmacological research.
- Liu, R. et al. (2011). The flavonoid apigenin protects brain neurovascular coupling against amyloid-β₂₅₋₃₅-induced toxicity in mice. Journal of Alzheimer’s disease.
- Mao, J. J. et al. (2016). Long-term chamomile (Matricaria chamomilla L.) treatment for generalized anxiety disorder: A randomized clinical trial. Phytomedicine.
- Zick, S. M. et al. (2011). Preliminary examination of the efficacy and safety of a standardized chamomile extract for chronic primary insomnia: a randomized placebo-controlled pilot study. BMC complementary and alternative medicine.
- Shukla, S. et al. (2014). Apigenin inhibits prostate cancer progression in TRAMP mice via targeting PI3K/Akt/FoxO pathway. Carcinogenesis.
- Chuang, C. M. et al. (2009). Combination of apigenin treatment with therapeutic HPV DNA vaccination generates enhanced therapeutic antitumor effects. Journal of biomedical science.
- Shoara, R. et al. (2015). Efficacy and safety of topical Matricaria chamomilla L. (chamomile) oil for knee osteoarthritis: A randomized controlled clinical trial. Complementary therapies in clinical practice.
- Majma Sanaye, P. et al. (2022). Apigenin and its dermatological applications: A comprehensive review. Phytochemistry.