Pernahkah anda tertanya-tanya apakah tujuan tidur? Kenapa tidur begitu penting untuk manusia? Bagi merungkai persoalan tersebut, artikel ini mengupas dengan lebih lanjut mengenai tujuan dan kepentingan tidur.
Tidur adalah satu keperluan bagi setiap manusia untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Malah, manusia memerlukan tidur untuk terus hidup, sama seperti kita memerlukan air dan makanan.
Seorang manusia menghabiskan masa kira-kira satu pertiga daripada kehidupannya dengan tidur.
Malah, Allah SWT berfirman dalam surah An-Naba ayat 9-11 yang bermaksud:
“Dan Kami telah menjadikan tidur untuk kamu berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya)-masa untuk mencari rezeki?”
Surah An-Naba (ayat 9-11)
Banyak proses biologi yang berlaku semasa tidur. Contohnya seperti:
- Sel-sel saraf berkomunikasi dan menyusun kembali yang menyokong fungsi otak yang sihat.
- Otak menyimpan maklumat baru dan menyingkirkan sisa toksik.
- Badan membaiki sel-sel, memulihkan tenaga dan melepaskan molekul seperti hormon dan protein.
Proses-proses ini penting dan kritikal untuk kesihatan badan kita secara keseluruhannya. Proses-proses ini juga membolehkan badan anda berfungsi dengan baik.
Mari kita pelajari dengan lebih mendalam akan tujuan tidur, mengapa kita perlu tidur dan apa yang terjadi sekiranya kita tidak mendapatkan tidur yang mencukupi.
Mengapa Kita Perlukan Tidur?
Walaupun masih banyak yang belum dirungkai, tetapi ramai yang menerima bahawa tidur diperlukan untuk pelbagai proses biologi.
Dari sudut sains, saintis mendapati tidur boleh membantu badan dalam banyak cara. Teori dan sebab yang paling jelas adalah seperti berikut: [1]
1. Penjimatan Tenaga
Kita memerlukan tidur untuk menjimatkan tenaga.
Tidur membolehkan kita mengurangkan keperluan kalori dengan menghabiskan sebahagian daripada masa kita dengan berfungsi pada kadar metabolisme yang lebih rendah.
Konsep ini disokong oleh kadar metabolisme yang menurun semasa tidur.
Kajian mencadangkan bahawa 8 jam tidur boleh menjimatkan tenaga harian sebanyak 35 peratus daripada terjaga sepenuhnya. [2]
2. Fungsi Otak
Tidur juga diperlukan untuk fungsi otak. Khususnya, ia membolehkan neuron atau sel saraf menyusun semula.
Apabila anda tidur, sistem pembersihan otak akan membersihkan sisa daripada sistem saraf pusat. Ia menyingkirkan sisa toksik daripada otak dan membenarkan otak untuk berfungsi dengan baik semasa anda jaga.
Kajian juga mencadangkan bahawa tidur menyumbang kepada fungsi ingatan dengan menukar ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang, serta dengan memadam atau melupakan maklumat yang tidak diperlukan yang mungkin mengacaukan sistem saraf. [3]
3. Pemulihan Sel
Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa badan memerlukan tidur untuk memulihkan dirinya.
Tidur membenarkan sel-sel untuk membaiki dan tumbuh kembali. Ia melibatkan banyak proses yang berlaku semasa tidur seperti:
- Pembaikan otot
- Pertumbuhan tisu
- Pelepasan hormon
- Sintesis protein
4. Kesejahteraan Emosi
Tujuan tidur yang seterusnya adalah untuk kesihatan emosi.
Semasa tidur, aktiviti otak meningkat di kawasan yang mengawal emosi. Justeru itu, tidur menyokong fungsi otak yang sihat dan kestabilan emosi.
Kajian menunjukkan bahawa tidur dan kesihatan mental saling berkaitan. Di satu sudut, gangguan tidur boleh menyumbang kepada permulaan dan perkembangan isu kesihatan mental, manakala di sisi lain, isu kesihatan mental juga boleh menyumbang kepada gangguan tidur. [4]
5. Penyelenggaraan Berat Badan
Tidur juga penting untuk penyelenggaraan berat badan. Hal ini demikian kerana tidur boleh membantu mengawal hormon lapar.
Ia termasuklah mengawal hormon ghrelin yang meningkatkan selera dan leptin yang meningkatkan rasa kenyang selepas makan.
Semasa tidur, hormon ghrelin akan menurun. Tetapi, sekiranya anda kurang tidur, hormon ghrelin akan meningkat dan hormon leptin akan berkurang. Ketidakseimbangan ini akan menyebabkan anda lapar.
Terdapat kajian yang menunjukkan kekurangan tidur yang kronik boleh meningkatkan risiko kepada: [5]
- Obesiti
- Penyakit kencing manis (diabetes jenis 2)
- Sindrom metabolik
6. Keimunan
Untuk mendapatkan sistem imun yang kuat, anda juga memerlukan tidur.
Apabila anda tidur, badan menghasilkan sejenis protein yang dikenali sebagai sitokin, sitokin ini melawan jangkitan dan keradangan. Ia juga menghasilkan antibodi dan sel-sel imun tertentu.
Kajian menunjukkan kekurangan tidur boleh menyekat tindak balas imun dan membuatkan badan terdedah kepada jangkitan kuman. [6]
7. Fungsi Insulin
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab untuk membantu sel-sel badan menggunakan glukosa (gula) sebagai tenaga.
Rintangan insulin pula adalah keadaan di mana sel-sel badan tidak bertindak balas dengan betul terhadap insulin. Akibatnya, ia membawa kepada masalah kesihatan seperti diabetes jenis 2.
Tidur boleh melindungi anda daripada rintangan insulin. Ia memastikan sel-sel anda sihat supaya mereka boleh mengambil glukosa dengan mudah.
8. Kesihatan Jantung
Para saintis juga berpendapat bahawa tidur turut menyokong kesihatan jantung.
Walaupun sebabnya tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia bersumberkan kaitan antara penyakit jantung dan tidur yang tidak cukup.
Tidur yang tidak cukup dikaitkan dengan kemerosotan dalam fungsi tubuh manusia dan peningkatan risiko kardiovaskular seperti penyakit jantung. [7]
Apa yang Terjadi Sekiranya Anda Tidak Mendapatkan Tidur yang Cukup?
Tanpa tidur yang cukup, badan anda sukar berfungsi dengan baik.
Kekurangan tidur dikaitkan dengan masalah kesihatan kronik yang menjejaskan jantung, buah pinggang, darah, otak dan kesihatan mental. [8]
Selain itu, kekurangan tidur juga boleh meningkatkan risiko kecederaan seperti kemalangan kenderaan akibat mengantuk.
Bagi orang tua, tidak cukup tidur boleh meningkatkan risiko kepada jatuh dan patah tulang.
Kesan-kesan lain yang boleh berlaku akibat kekurangan tidur adalah:
- Perubahan emosi
- Ingatan lemah
- Kemurungan
- Keresahan atau kebimbangan
- Kelesuan
- Tidak dapat memberikan tumpuan
- Penambahan berat badan
- Sistem imun yang lemah
- Tekanan darah tinggi
- Kerintangan insulin
- Penyakit kronik seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung
- Meningkatkan risiko kematian awal
Rumusan
Sekiranya anda mencari makna atau tujuan tidur, jawapannya adalah tidur membantu kita terus sihat dan berfungsi dengan baik.
Tidur membolehkan badan dan otak membaiki, memulihkan dan kembali bertenaga.
Sekiranya anda tidak mendapatkan tidur yang cukup, anda mungkin mengalami kesan sampingan seperti perubahan emosi, kelesuan, tidak dapat memberi tumpuan dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Brinkman JE, Reddy V, Sharma S. Physiology of Sleep. [Updated 2022 Sep 19]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Schmidt, M. H. et al. (2017). State-dependent metabolic partitioning and energy conservation: A theoretical framework for understanding the function of sleep. PloS one.
- Poe G. R. (2017). Sleep Is for Forgetting. The Journal of neuroscience.
- Scott, A. J. et al. (2017). Does improving sleep lead to better mental health? A protocol for a meta-analytic review of randomised controlled trials. BMJ open.
- Cedernaes, J. et al. (2018). Acute sleep loss results in tissue-specific alterations in genome-wide DNA methylation state and metabolic fuel utilization in humans. Science advances.
- Asif, N. et al. (2017). Human immune system during sleep. American journal of clinical and experimental immunology.
- Korostovtseva, L. et al. (2021). Sleep and Cardiovascular Risk. Sleep medicine clinics.
- National Heart, Lung and Blood Institute. What Are Sleep Deprivation and Deficiency?