Peluntur adalah agen pencuci dan pembasmi kuman yang lazimnya digunakan di rumah. Anda mungkin tertanya-tanya apakah yang perlu dilakukan sekiranya peluntur ini terkena kulit.
Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut mengenai tindakan yang perlu dilakukan apabila peluntur terkena kulit atau mata, harus diketahui dahulu mengenai bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan peluntur tersebut.
Peluntur mempunyai bahan aktif iaitu natrium hipoklorit (sodium hypochlorite) iaitu bahan kimia yang mengkakis hasil campuran daripada klorin dan natrium hidroksida (sodium hydroxide). Natrium hipoklorit juga boleh membunuh virus, bakteria, kulat dan kulapuk.
Terdedah kepada peluntur pada kepekatan yang tinggi boleh menyebabkan kerengsaan kulit, mata, hidung dan mulut. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan lecuran kimia yang dikenali sebagai lecuran peluntur.
Risiko
Peluntur mempunyai dua sifat utama yang boleh menyebabkan kerosakan atau kecederaan pada badan apabila terdedah pada tahap yang tinggi.
Pertama, peluntur sangat beralkali (pH 11 hingga 13), yang juga boleh mengkakis logam dan membakar kulit. Kedua, peluntur mengandungi bau klorin yang kuat, yang boleh membahayakan paru-paru jika dihidu.
Beberapa risiko yang boleh terjadi akibat penggunaan peluntur atau natrium hipoklorit adalah:
- Keracunan peluntur: Peluntur boleh menyebabkan keracunan yang disebabkan aktiviti mengkakis apabila bersentuhan dengan membran mukosa dan kulit. Tanda utama keracunan akut ialah kerengsaan teramat berserta muntah.
- Tertelan peluntur: Tertelan peluntur memerlukan rawatan segera. Pada kadar yang banyak ia boleh menyebabkan kecederaan perut dan usus yang mengakibatkan asidosis metabolik (seperti sakit kepala, muntah atau sakit perut), hipernatremia (kehadiran jumlah natrium yang berlebihan di dalam darah) dan hiperkloremia (keadaan klorida yang berlebihan di dalam darah).
- Terdedah kepada kulit: Pendedahan yang berpanjangan atau meluas boleh menyebabkan kerengsaan kulit, kerosakan pada kulit atau hipersensitiviti kulit. Kepekatan yang tinggi boleh menyebabkan lecur kimia yang teruk.
- Terhidu peluntur: Terhidu hipoklorit sahaja berkemungkinan membawa kepada kerengsaan ringan pada saluran pernafasan atas.
- Terkena pada mata: Sekiranya terkena mata, ia boleh menyebabkan kecederaan kornea dengan gejala-gejala seperti ketidakselesaan yang membakar dan gangguan cetek epitelium kornea dengan pemulihan dalam masa 1 atau 2 hari. Pada kepekatan larutan yang lebih tinggi, kerengsaan mata yang teruk boleh berlaku.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika
Kesan peluntur pada kulit anda akan bergantung pada bahagian badan yang bersentuhan dengannya, kepekatannya, tempoh dan jumlah pendedahan.
Peluntur Terkena Kulit
Jika anda tertumpah peluntur pada kulit atau pakaian anda, tanggalkan pakaian anda dan bilas kulit anda dengan air yang banyak sekurang-kurangnya selama 10 hingga 15 minit. Selepas itu, anda boleh membilasnya dengan sabun dan air.
Elakkan menyentuh sebarang larutan peluntur yang terdapat pada pakaian anda atau permukaan lain dengan tangan anda.
Walaupun klorin biasanya tidak diserap oleh kulit, sejumlah kecil mungkin meresap ke dalam darah. Terlalu banyak klorin dalam darah anda boleh membawa kepada keadaan serius yang dipanggil hiperkloremia.
Peluntur Terkena Mata
Sekiranya peluntur terkena mata dan menyebabkan mata anda pedih atau penglihatan kabur, bilas mata anda dengan air selama 10 hingga 15 minit.
Sekiranya anda memakai kanta lekap, tanggalkan kanta lekap tersebut sebelum membilas mata anda dengan air. Buang kanta lekap tersebut dan jangan memakainya kembali.
Sekiranya anda memakai kaca mata atau cermin mata, basuh kaca mata tersebut dengan sabun dan air. Anda boleh memakainya kembali.
Tertelan Peluntur
Sekiranya anda atau anak anda tertelan peluntur, jangan cuba untuk muntah atau meminum air. Dapatkan rawatan kecemasan dengan segera atau hubungi talian kecemasan 999.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda menumpahkan peluntur pada kulit anda, sila dapatkan rawatan perubatan jika terdapat sebarang gejala seperti sakit atau gatal-gatal, terutamanya jika ia berlaku selama lebih daripada 3 jam.
Sekiranya peluntur terkena mata, sila dapatkan rawatan susulan walaupun anda telah membasuhnya dengan air.
Sekiranya anda atau anak anda menunjukkan gejala-gejala kejutan (shock), sila dapatkan rawatan kecemasan dengan segera.
Gejala-gejala kejutan adalah seperti:
- Loya dan muntah
- Pening
- Kulit menjadi pucat
- Nafas menjadi laju
- Nadi menjadi laju
- Anak mata membesar
Rujukan
- Slaughter, R.J. et al. (2019). The clinical toxicology of sodium hypochlorite. Clinical Toxicology.
- Centers for Disease Control and Prevention. Facts about Chlorine.
- Sabour, J. (2022). What to Do After Spilling Bleach on Your Skin. verywellhealth.