Vaksin ialah produk yang mengandungi kuman yang sama yang menyebabkan penyakit. Tetapi, bezanya adalah kuman ini telah dibunuh atau dilemahkan pada satu tahap di mana kuman ini tidak boleh menyebabkan anda sakit. Sesetengah vaksin hanya mengandungi satu bahagian daripada kuman tersebut.
Vaksin akan melatih sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi. Seperti mana badan menghasilkan antibodi ketika diserang oleh penyakit tersebut.
Vaksinasi adalah kaedah yang mudah, selamat dan berkesan dalam melindungi manusia daripada jangkitan kuman seperti virus dan bakteria.
Kebanyakkan vaksin diberikan secara suntikan dan ada juga di antaranya diberikan secara makan (oral) atau semburan ke dalam hidung.
Artikel ini menerangkan apa itu vaksin dan maklumat-maklumat yang perlu anda tahu mengenai vaksin.
Bagaimana Vaksin Berfungsi?
Vaksin dapat membantu mengurangkan risiko individu yang divaksin daripada jangkitan penyakit melalui sistem pertahanan badan semulajadi manusia.
Apabila seseorang individu itu divaksin, sistem pertahanan badan (sistem imun) akan bertindak balas melalui beberapa mekasnisme iaitu:
- Sistem imun akan mengenali virus atau bakteria yang menceroboh
- Sistem imun akan menghasilkan antibodi. Antibodi adalah protein yang dihasilkan oleh sistem imun untuk melawan jangkitan virus atau bakteria.
- Sistem imun akan mengingati penyakit tersebut dan bagaimana cara untuk melawannya. Apabila anda terdedah kepada penyakit yang sama pada masa hadapan, sistem imun akan menghapuskan penyakit tersebut dengan cepat sebelum anda jatuh sakit.
Vaksinasi adalah kaedah yang selamat dan bijak dalam menghasilkan tindak balas imun badan tanpa menyebabkan penyakit.
Penyakit yang Boleh Dicegah Melalui Vaksin
Vaksin telah lama digunakan untuk mencegah beberapa jenis penyakit iaitu:
- Kolera (taun)
- Kanser serviks
- Hepatitis B
- COVID-19
- Difteria
- Influenza
- JE (Japanese encephalitis)
- Meningitis
- Campak
- Beguk
- Pneumonia
- Polio
- Pertusis
- Rabies
- Rubella
- Rotavirus
- Tetanus
- Varicella (cacar air dan kayap)
- Demam kuning
- Tifiod (demam kepialu)
Siapa yang Boleh Divaksin?
Umumnya, semua orang boleh divaksin. Tetapi, akibat beberapa keadaan sesetengah orang tidak boleh mengambil vaksin tertentu atau perlu menunggu sebelum diberikan vaksin.
Keadaan ini termasuklah:
- Penyakit kronik atau rawatan seperti kemoterapi yang memberi kesan terhadap sistem imun
- Mempunyai alahan yang teruk terhadap bahan-bahan dalam vaksin dan boleh membahayakan nyawa
- Sekiranya anda sedang demam panas dan sakit teruk pada hari vaksinasi
Adakah Vaksin Selamat?
Vaksinasi adalah selamat dan kesan sampingan yang dialami biasanya adalah ringan dan bersifat sementara.
Biasanya, mereka yang divaksin akan mengalami kesan sampingan seperti:
- Bengkak pada kawasan divaksin
- Demam
- Atau tindak balas yang lebih serius tetapi ia jarang berlaku
Lazimnya, vaksin yang telah diluluskan telah diuji dengan pelbagai fasa ujian sebelum dibenarkan digunakan untuk masyarakat umum.
Vaksin ini juga akan dinilai secara berkala setelah ia diluluskan. Pengkaji juga akan sentiasa memerhati maklumat daripada pelbagai sumber sekiranya terdapat tanda-tanda bahawa vaksin ini boleh menyebabkan risiko kesihatan.
Vaksinasi di Malaysia
Program imunisasi kebangsan di Malaysia mempunyai beberapa peringkat. Ia bermula seawal bayi dilahirkan sehinggalah berumur 15 tahun.
Peringkat-peringkat vaksinasi atau imunisasi di Malaysia adalah seperti berikut:
Bayi Baru Lahir
- BCG (Basile Calmette-Guerin) Dos 1
- Hepatitis B Dos 1
Bayi Berumur 1 Bulan
- Hepatitis B Dos 2
Bayi Berumur 2 Bulan
- DTaP (Difteria, Tetanus & Pertusis) Dos 1
- Hib (Haemophilus Influenzae type B) Dos 1
- Polio Dos 1
Bayi Berumur 3 Bulan
- DTap Dos 2
- Hib Dos 2
- Polio Dos 2
Bayi Berumur 5 Bulan
- DTap Dos 3
- Hib Dos 3
- Polio Dos 3
Bayi Berumur 6 Bulan
- Hepatitis B Dos 3
- Measles (campak) Dos 1 – negeri Sabah sahaja
Bayi Berumur 9 Bulan
- MMR (Measles, Mumps & Rubella) Dos 1
- JE Dos 1- negeri Sarawak sahaja
Bayi Berumur 12 Bulan
- MMR Dos 2
Bayi Berumur 18 Bulan
- Penggalak DTaP
- Penggalak Hib
- Penggalak Polio
Bayi Berumur 21 Bulan
- JE (Japanese Encephalitis) Dos 2 – negeri Sarawak sahaja
Kanak-kanak Berumur 7 Tahun
- MR Dos 2
- Penggalak DT (Difteria & Tetanus)
Remaja Berumur 13 Tahun
- HPV (Human Papillomavirus) Dos 1 & 2 – untuk remaja perempuan
Remaja Berumur 15 Tahun
- Penggalak Tetanus
Vaksin BCG diberikan untuk perlindungan terhadap penyakit tibi (Tuberkulosis). DTap pula memberi perlindungan terhadap Difteria (penyakit berjangkit akibat bakteria), Tetanus (kancing gigi) dan Pertusis (batuk kokol).
Vaksin MMR pula memberikan perlindungan terhadap penyakit campak (Measles), beguk (Mumps) dan Rubela.
Selain program imunisasi ini, masyarakat juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin berikut:
- Pneumokokal
- Meningokokal
- Rotavirus
- Varicella (cacar air)
- Hepatitis A
Rumusan
Vaksinisasi adalah satu kaedah pencegahan terhadap penyakit berjangkit yang sukar atau tiada ubat untuk merawatnya. Kaedah vaksin ini melatih sistem pertahanan badan manusia agar menghasilkan antibodi terhadap jangkitan sesuatu penyakit seperti jangkitan virus atau bakteria.
Terdapat banyak jenis penyakit yang memerlukan vaksinasi bagi langkah pencegahan. Contohnya seperti penyakit taun, campak, beguk, COVID-19, influenza, polio, hepatitis B dan lain-lain lagi.
Bagi Malaysia, program imunisasi kebangsaan mengariskan beberapa peringkat pemberian vaksin terhadap bayi baru lahir sehinggalah remaja yang berusia 15 tahun. Pendekatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini boleh mencegah pelbagai penyakit berjangkit yang sesetengahnya boleh mengancam nyawa.
Rujukan
- Luu, Y.M. (2015). Jadual Imunisasi. MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.