Anda mungkin pernah melihat istilah macchiato dalam menu di kafe atau kedai kopi. Bagi anda yang masih baru dalam dunia kopi ini, mesti anda tertanya-tanya apa itu macchiato?
Macchiato adalah istilah dalam bahasa Itali yang diterjemahkan sebagai “ditanda” atau “berwarna” yang membawa maksud kopi yang berwarna atau ditanda.
Macchiato adalah minuman kopi espreso yang ditambah dengan sedikit susu kukus berbuih bagi membenarkan rasa espreso masih menyerlah.
Machhiato memberikan pengemar kopi rasa yang ditengah-tengah antara espreso dan cappuccino. Ia tidaklah sepekat minuman espreso sahaja tetapi lebih pekat berbanding cappuccino biasa.

Terdapat dua variasi utama bagi macchiato iaitu espresso macchiato dan latte macchiato. Kedua-dua variasi ini melibatkan “pewarnaan atau stain” antara elemen susu dan espreso.
Espresso Macchiato
Espresso Macchiato atau dalam bahasa Itali dipanggil caffé macchiato ialah bentuk asal minuman ini. Bagi variasi ini, susu mewarnai atau mengotori espreso.
Matlamat minuman jenis ini adalah untuk menjadikan espreso sedikit ringan atau disederhanakan dengan percikan susu.
Jika dibandingkan dengan minuman berasaskan espreso yang lain, espresso macchiato mempunyai nisbah espreso lebih tinggi berbanding susu dan penambahan susu ini hanyalah sebagai pelengkap. Maka, espreso tersebut masih boleh dirasai dengan baik.
Minuman ini disediakan dengan memasukkan satu shot espreso seperti biasa. Kemudian, ditambah dengan 1-2 sudu teh susu kukus dan sedikit buih di atasnya.
Espreso macchiato boleh dihidangkan di dalam cawan kaca atau cawan demitasse.
Latte Macchiato
Latte macchiato adalah variasi yang kedua bagi bagi macchiato. Bagi variasi minuman ini, susu kukus diwarnai atau dikotori dengan satu shot espreso.
Latte macchiato mempunyai lebih banyak susu, kurang espreso dan ia adalah minuman berlapis. Barbanding espresso macchiato, latte macchiato lebih menekankan kepada susu berbanding espreso.
Pembuat kopi akan memulakan pembuatan kopi ini dengan gelas bersaiz lebih kurang 350 ml. Gelas ini panaskan terlebih dahulu diisi dengan 1/3 sehingga 1/2 susu kukus.
Kemudian, satu shot atau separuh shot espreso dituang secara perlahan-lahan pada susu kukus tersebut. Seterusnya, satu lapisan buih susu diletakkan di bahagian atas minuman tersebut.
Kaedah menuang ini mewujudkan rupa berlapis yang eksklusif bagi minuman latte macchiato.
Ringkasan
Secara ringkasnya, bagi menjawab persoalan apa itu macchiato, macchiato adalah minuman kopi yang terdiri daripada espreso, susu kukus atau buih susu. Macchiato berasaskan konsep “pewarnaan atau stain”. Terdapat dua variasi utama macchiato iaitu espresso macchiato dan latte macchiato.
Espresso macchiato hanya mengandungi sedikit susu kukus dan rasa espreso masih menyerlah. Manakala. latte macchiato mengandungi susu yang lebih banyak dan berlapis dengan lapisan espreso dan buih susu.