Apa itu frappe? Frappe (disebut frap-pay) ialah minuman berais yang digoncang , dikisar atau dipukul sehingga menghasilkan minuman yang berbuih, sedap dan menyegarkan. Biasanya frappe dihidangkan sejuk dengan krim putar dan hiasan atas.
Frappe pertama kali diilhamkan di Eropah, beberapa dekad yang lalu. Perkataan frappe berasal dari perkataan Perancis iaitu frapper yang bermaksud tampar, ketuk atau pukul.
Secara tradisionalnya, frappe dihasilkan dengan kopi. Walau bagaimanapun, frappé boleh juga dihasilkan dengan pelbagai perisa lain seperti teh, coklat atau jus. Secara teknikalnya, tiada resepi yang khusus bagi frappe. Terdapat pelbagai variasi minuman popular ini.

Jika diimbas kembali, terdapat banyak minuman kopi sejuk yang dinamakan “café frappé” pada abad ke-19.
Jika anda memesan frappé di Greece, anda akan dihidangkan dengan kopi manis yang digoncang sehingga berbuih dan dituang ke atas kiub ais.
Jika di Perancis, anda mungkin dihidangkan dengan kopi, ais krim dan ais yang dikisar bersama-sama.
Jika di Amerika, anda mungkin dihidangkan dengan kopi yang dikisar bersama-sama susu, gula, ais dan ditutupi dengan krim putar.
Frappe juga mungkin tidak mempunyai kopi langsung. Ia mungkin jus buah yang dikisar bersama bersama-sama buah dan ais menjadikannya frappe buah.
Frappe vs Frappuccino
Terdapat sedikit perbezaan antara frappe dan Frappuccino yang membuatkan kedua-dua minuman ini unik.
Frappuccino adalah satu rekaan oleh seorang pekerja kedai kopi yang berpengkalan di England iaitu The Coffee Connection. Minuman ini direka untuk menghasilkan minuman yang baru dan menarik untuk mengatasi persaingan.
Ia diberi nama Frappuccino yang menggabungkan perkataan frappe dan cappuccino.
Seperti frappe yang asal, minuman ini terdiri daripada kopi, susu, gula dan ais. Perbezaannya adalah campuran ini dicampur di dalam mesin yogurt. Kaedah yang unik ini menghasilkan Frappuccino yang mempunyai tekstur berkrim dan lembut.
Pada tahun 1994, Starbucks telah membeli kedai kopi The Coffee Connection bersama-sama resepinya.
Resepi asal Frappuccino ini kemudiannya dikemaskini, memberikannya asas yang boleh dicampurkan dengan pelbagai bahan. Ia juga dicampur menggunakan pengisar agar sesuai dengan pengeluaran pantas rangkaian Starbucks dan memberikan tekstur yang lebih tebal.
Rumusan
Secara ringkasnya, menjawab persoalan apa itu frappe? Frappe adalah minuman yang dikisar, digoncang atau dipukul sehingga menghasilkan minuman berbuih dan sedap.
Frappe tidak mempunyai resepi yang khusus dan juga tidak semestinya mengandungi kopi. Frappe boleh dihasilkan daripada jus buah dan buah.
Manakala bagi Frappuccino pula, perbezaan yang paling ketara adalah kaedah pembuatannya yang menggunakan mesin yogurt untuk mencampurkan kesemua bahan-bahan untuk menghasilkan minuman tersebut.