Apa itu Angina?
Angina ialah sejenis sakit dada yang disebabkan oleh pengurangan aliran darah ke jantung. Akibatnya, jantung akan berdenyut dengan lebih laju dan kuat untuk mendapatkan lebih darah menyebabkan rasa sakit.
Angina bukanlah penyakit tetapi ia adalah salah satu gejala atau simptom kepada penyakit arteri koronari. Angina juga turut dipanggil angina pektoris.
Bagaimana Rasa Sakit Dada atau Angina ini?
Kesakitan angina sering digambarkan seperti himpitan, tekanan, berat, sesak atau sakit di dada. Ia mungkin berasa seperti beban berat terletak di dada.

Sesetengah orang mengatakan ia rasa seperti senak. Ada juga yang mengatakan ia sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Ketidakselesaan biasanya bermula di belakang tulang dada anda. Kadangkala, anda mungkin tidak dapat mengesan dengan tepat dari mana datangnya kesakitan tersebut.
Sakit atau ketidakselesaan yang anda rasa di dada mungkin merebak ke bahagian atas badan anda. Ini termasuk leher, rahang, bahu, lengan, belakang atau perut anda.
Sakit dada atau ketidakselesaan tersebut mungkin berasa seperti:
- Menghimpit
- Tekanan
- Membakar
- Kekenyangan
Gejala-gejala lain
Selain itu, angina juga mungkin turut menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Kelesuan
- Pening
- Loya
- Sukar bernafas
- Berpeluh
Gejala-gejala dalam Kalangan Wanita
Gejala-gejala angina pada wanita boleh berbeza daripada gejala-gejala yang biasa. Perbezaan ini boleh menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan.
Wanita mungkin mengalami gejala-gejala seperti:
- Sakit dada
- Ketidakselesaan di leher, rahang, gigi atau belakang
- Loya
- Sukar bernafas
- Sakit yang mencucuk di dada
- Sakit perut
Jenis-jenis Angina
Terdapat 4 jenis angina iaitu:
- Angina stabil: Angina stabil adalah bentuk angina yang paling biasa. Ia biasanya berlaku semasa aktiviti (bertenaga) dan hilang dengan rehat atau ubat.
- Angina tidak stabil: Angina tidak stabil tidak dapat diramalkan dan berlaku semasa rehat. Atau sakit angina semakin teruk dan berlaku dengan usaha fizikal yang kurang. Ia biasanya teruk dan bertahan lebih lama daripada angina stabil, mungkin 20 minit atau lebih lama. Kesakitan tidak hilang dengan rehat atau ubat angina biasa. Ia boleh menyebabkan serangan jantung.
- Angina varian (Prinzmetal angina): Angina jenis ini bukan disebabkan oleh penyakit arteri koronari. Ia disebabkan oleh kekejangan pada arteri jantung yang mengurangkan aliran darah buat sementara waktu. Sakit dada yang teruk adalah simptom utama angina varian.
- Angina refraktori: Episod angina kerap berlaku walaupun gabungan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.
Punca yang Menyebabkan Angina
Angina disebabkan oleh pengurangan aliran darah ke otot jantung. Darah membawa oksigen, yang diperlukan oleh otot jantung untuk terus hidup.
Apabila otot jantung tidak mendapat oksigen yang mencukupi, ia menyebabkan keadaan yang dipanggil iskemia.
Punca utama yang mengurangkan aliran darah ke otot jantung adalah penyakit arteri koronari.
Selain itu, penyakit mikrovaskular koronari dan kekejangan arteri koronari juga boleh menyebabkan pengurangan aliran darah ke otot jantung.
Faktor Risiko
Faktor risiko yang boleh menyebabkan angina termasuklah:
- Merokok
- Pemakanan tidak sihat
- Kekurangan aktiviti fizikal
- Obesiti
- Anemia
- Tekanan (stres) kronik
- Diabetes
- Minum alkohol
- Keturunan
- Kegagalan jantung
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Sindrom metabolik
- Ubat-ubatan
Rawatan
Doktor anda akan merawat masalah jantung yang menyebabkan angina.
Matlamat rawatan adalah untuk meningkatkan aliran darah ke jantung anda dan mengurangkan risiko komplikasi.
Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan melakukan beberapa ujian untuk memahami keadaan anda dan menentukan rawatan bersesuaian.
Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
- Ubat antikoagulan atau antiplatelet (ubat pencair darah) bagi mengurangkan risiko darah beku.
- Ubat tekanan darah tinggi
- Ubat kolesterol
- Perubahan gaya hidup
- Ubat khusus untuk merawat angina
- Pembedahan jantung
Bagaimana untuk Mencegah Angina?
Anda boleh mencegah angina dengan melakukan perubahan gaya hidup dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Berhenti merokok atau menghisap sebarang produk tembakau.
- Makan makanan yang sihat yang rendah lemak tepu, lemak trans, gula dan garam.
- Mengekalkan berat badan yang sihat.
- Menguruskan tekanan dengan baik.
- Mengurangkan risiko penyakit arteri koronari.
- Banyakkan melakukan aktiviti fizikal
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Angina. Cleveland Clinic
- Mayo Clinic Staff. (2022). Angina. MayoClinic
- National Heart, Lung and Blood Insitute. (2023). What is Angina?