Apa itu Anemia Aplastik?
Anemia aplastik ialah satu keadaan di mana badan berhenti menghasilkan sel-sel darah yang baru secara mencukupi. Ia adalah sejenis sindrom kegagalan tulang sumsum.
Anemia aplastik adalah penyakit darah yang serius dan jarang-jarang berlaku. Penyakit ini boleh terbentuk secara perlahan-lahan atau secara cepat, dan boleh menjadi ringan atau teruk.
Penyakit ini boleh berlaku kepada semua lapisan umur tidak kira muda atau tua. Penyakit ini juga biasanya akan menyebabkan seseorang itu sentiasa kelesuan dan mudah terdedah kepada jangkitan serta perdarahan tidak terkawal.

Jenis-jenis Anemia Aplastik
Anemia aplastik boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
- Anemia aplastik warisan: Anemia jenis ini berlaku disebabkan oleh mutasi gen. Ia lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
- Anemia aplastik perolehan: Anemia jenis ini berlaku disebabkan masalah sistem imun. Ia lebih lazim berlaku dalam kalangan golongan berumur, tetapi boleh juga berlaku dalam kalangan belia.
Tanda-tanda dan Gejala
Anemia aplastik boleh tidak mempunyai tanda-tanda atau gejala. Sekiranya ada, tanda-tanda atau gejala tersebut adalah seperti berikut:
- Kelesuan atau keletihan
- Sesak nafas
- Jangkitan yang berpanjangan
- Denyutan jantung yang tidak teratur atau laju
- Mudah untuk lebam
- Perdarahan luka yang berpanjangan
- Hidung dan gusi berdarah
- Ruam kulit
- Pening
- Sakit kepala
- Demam
Punca yang Menyebabkan Anemia Aplastik
Anemia aplastik disebabkan oleh kerosakan pada sel-sel tunjang di dalam tulang sumsum. Banyak penyakit yang boleh merosakkan sel-sel tunjang di dalam tulang sumsum.
Akibatnya, tulang sumsum menghasilkan sel-sel darah merah, darah putih dan platelet yang lebih sedikit.
Lazimnya, kerosakan tulang sumsum ini adalah berpunca daripada sistem imun yang menyerang dan memusnahkan sel-sel tunjang di dalam tulang sumsum.
Selain itu, anemia aplastik juga boleh disebabkan oleh ubat-ubatan seperti yang digunakan dalam kemoterapi, terdedah kepada toksin atau bahan kimia.
Dalam kes-kes yang jarang berlaku, anda juga boleh mewarisi penyakit ini daripada ibu bapa atau ahli keluarga.
Bagaimana Anemia Aplastik Ditentukan?
Ujian-ujian berikut digunakan untuk mendiagnosis penyakit ini.
- Ujian darah: Biasanya, sel darah merah, sel darah putih dan platelet berada pada paras tertentu. Namun bagi penyakit ini, kesemua sel-sel darah tersebut berada pada paras yang rendah.
- Biopsi tulang sumsum: Doktor akan menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil sampel daripada tulang sumsum pesakit. Sampel tersebut akan diperiksa dibawah mikroskop. Biopsi tulang sumsum diperlukan untuk mengesahkan diagnosis penyakit anemia aplastik.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, kesihatan secara keseluruhan dan gejala-gejala yang berlaku.
Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
- Ubat antibiotik atau antivirus: Bergantung kepada keterukan penyakit yang dialami, ubat antibiotik atau antivirus diberikan untuk mencegah jangkitan.
- Transfusi darah: Transfusi menggantikan sel-sel darah merah dan platelet. Kaedah rawatan ini boleh membantu merawat gejala-gejala seperti kelesuan atau mudah lebam.
- Perangsang tulang sumsum: Ubat yang digunakan untuk merangsang tulang sumsum untuk menghasilkan lebih banyak sel-sel darah.
- Immunosuppressants: Ubat yang digunakan untuk menahan sistem imun.
Pemindahan Tulang Sumsum
Pemindahan tulang sumsum adalah satu-satunya penawar untuk anemia aplastik. Pemindahan tulang sumsum turut dipanggil pemindahan sel tunjang.
Kaedah ini adalah rawatan pilihan bagi anemia aplastik yang teruk. Pemindahan tulang sumsum menggantikan sel-sel tunjang yang rosak dengan yang sihat.
Sel-sel tunjang boleh diperolehi daripada”
- Penderma tulang sumsum
- Darah tali pusat
- Sel-sel tunjang periferal
Komplikasi
Sekirany tidak dirawat, anemia aplastik boleh meningkatkan risiko komplikasi seperti perdarahan, leukimia dan penyakit darah yang lain.
Selain itu, penyakit ini boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti aritmia dan kegagalan jantung.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Aplastic Anemia. MayoClinic
- National Heart, Lung and Blood Institute. (2022). Aplastic Anemia.
- Cleveland Clinic medical professional (2021). Aplastic Anemia. Cleveland Clinic