Apa itu Alergi Susu?
Alergi susu ialah sejenis tindak balas sistem imun (sistem pertahanan badan) terhadap susu dan produk yang mengandungi susu. Alergi susu adalah sejenis alahan atau alergi yang paling lazim berlaku kepada bayi atau kanak-kanak.
Terdapat beberapa jenis alergi susu tetapi alergi susu lembu adalah alergi yang paling banyak berlaku. Di samping itu, susu daripada mamalia lain seperti kambing, biri-biri, kerbau atau unta juga boleh menyebabkan tindak balas alergi bagi sesetengah kanak-kanak.
Tanda-tanda atau gejala alergi biasanya berlaku sejurus anda atau anak anda mengambil susu. Tanda-tanda atau gejala tersebut mungkin berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh menjadi ringan atau teruk.
Alergi susu juga boleh menyebabkan anafilaksis iaitu tindak balas yang teruk yang boleh mengancam nyawa.
Jenis-jenis Alergi Susu
Terdapat beberapa jenis alergi susu, antaranya adalah:
- Alergi susu lembu (paling kerap berlaku)
- Alergi susu kambing
- Alergi susu soya
- Alergi susu badam
- Alergi susu beras
Dalam artikel ini, alergi susu yang dibincangkan adalah alergi susu lembu yang merupakan alahan yang paling kerap terjadi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Perbezaan Antara Alergi Susu dan Tak Tolerans Susu (Laktosa)
Alergi susu sebenar adalah berbeza daripada tak tolerans susu atau tak tolerans laktosa. Berbeza dengan alergi, tak tolerans tidak melibatkan sistem imun badan.
Tak tolerans susu memerlukan rawatan yang berbeza daripada alergi susu yang sebenar.
Biasanya, mereka yang mengalami tak tolerans susu (laktosa) akan menunjukkan tanda-tanda dan gejala seperti kembung perut, angin, cirit-birit, loya atau muntah jika meminum susu atau produk mengandungi susu.
Alergi Susu Berjangkit atau Tidak?
Alergi susu tidak berjangkit tetapi ia boleh diwarisi.
Sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mempunyai alergi makanan atau jenis alergi yang lain, anak mereka juga berisiko untuk turut mengalami alergi makanan seperti alergi susu ini.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala alergi susu mungkin berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain.
Ia boleh berlaku sepantas beberapa minit hingga beberapa jam selepas anda atau anak anda meminum susu atau memakan produk mengandungi susu.
Tanda-tanda dan gejala yang boleh berlaku dalam beberapa minit adalah:
- Berdehit
- Gatal-gatal
- Gatal atau rasa kebas di sekitar bibir atau mulut
- Bengkak di bibir, lidah atau kerongkong
- Batuk atau sesak nafas
- Muntah
Tanda-tanda dan gejala yang memakan sedikit masa untuk berlaku adalah:
- Cirit-birit (mungkin mengandungi darah)
- Kejang perut
- Hidung berair
- Mata berair
- Kembung bagi bayi
Alergi susu juga boleh menyebabkan anafilaksis iaitu tindak balas alergi yang teruk yang memerlukan rawatan menggunakan suntikan epinefrina dan rawatan kecemasan.
Tanda-tanda dan gejala anafilaksis selepas mengambil susu atau produk yang mengandungi susu adalah:
- Bengkak pada kerongkong
- Saluran pernafasan tersumbat
- Gatal-gatal
- Tekanan darah rendah
- Tidak sedarkan diri
- Muka menjadi merah
Punca atau Penyebab
Alergi makanan seperti alergi susu adalah disebabkan malfungsi sistem imun. Bagi kes alergi susu, sistem imun anda mengenal pasti protein susu sebagai berbahaya.
Keadaan akan mencetuskan penghasilan antibodi yang bertujuan meneutralkan protein (alergen) tersebut.
Pada masa lain, jika anda berhadapan dengan protein ini, antibodi mengenalinya dan memberi isyarat kepada sistem imun anda untuk mengeluarkan histamin dan bahan kimia lain, menyebabkan pelbagai tanda dan gejala alergi.
Susu lembu mempunyai lebih daripada 20 pecahan protein. Walau bagaimanapun, terdapat dua protein susu lembu yang sering menyebabkan alergi iaitu:
- Kasein (casein)
- Wei (whey)
Kebanyakan individu yang mempunyai alergi susu lembu sensitif kepada kedua-dua protein, kasein dan wei.
Rawatan
Cara terbaik untuk mencegah tindak balas alergi adalah mengelak daripada susu, protein susu atau produk yang mengandungi susu.
Sekiranya anak anda memulakan diet bebas susu, doktor atau pakar diet boleh membantu merancang pelan pemakanan yang seimbang.
Kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan pengambilan suplemen untuk menggantikan kalsium dan nutrien yang dijumpai dalam susu seperti vitamin D dan vitamin B2.
Menyusu badan adalah digalakkan bagi bayi atau kanak-kanak kecil yang berisiko untuk mengalami alergi susu.
Meskipun begitu, ibu menyusu juga harus berpantang dalam pengambilan susu lembu atau produk yang mengandungi susu lembu.
Hal ini disebabkan oleh protein susu lembu boleh disalurkan kepada bayi melalui susu ibu dan boleh menyebabkan tindak balas alergi.
Sekiranya anda ingin mencari susu alternatif kepada susu lembu, susu unta adalah pilihan yang lebih baik kerana rendah dengan kereaktifan silang.
Ubat-ubatan
Walaupun pelbagai langkah pencegahan mungkin telah diambil, ada masanya anak anda mungkin secara tidak sengaja meminum susu atau memakan produk yang mengandungi susu.
Rawatan yang boleh diberikan adalah melalui ubat antihistamin yang boleh mengurangkan tindak balas alergi yang ringan.
Sekiranya anak anda mengalami tindak balas alergi serius (anafilaksis), anda memerlukan suntikan epinefrina (epinephrine) dan perlu dibawa ke unit kecemasan hospital atau klinik.
Bagi anda yang berisiko tinggi untuk mengalami anafilaksis, sentiasa membawa suntikan epinefrina dalam bentuk pen seperti EpiPen atau Adrenaclick sepanjang masa ketika diluar rumah adalah langkah terbaik.
Rujukan
- Edwards CW, Younus MA. Cow Milk Allergy. [Updated 2022 Jun 27]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2022). Milk Allergy. MayoClinic