Adakah anda pernah mengalami gatal-gatal selepas memakai sarung tangan getah? Anda mungkin mengalami alahan getah.
Alahan getah adalah tindak balas terhadap protein tertentu yang dijumpai dalam getah asli iaitu susu getah yang dihasilkan oleh pokok getah.
Sekiranya anda mempunyai alahan getah, badan anda tersilap menganggap getah atau lateks sebagai bahan berbahaya.

Akibatnya, badan anda akan bertindak balas dengan menyebabkan gatal-gatal, bintik-bintik merah, ruam atau anafilaksis iaitu tindak balas alahan yang boleh membawa maut.
Siapakah yang berisiko mengalami alahan ini?
Mereka yang berisiko tinggi mengalami alahan getah adalah: [1, 2]
- Pekerja penyedia kesihatan dan mereka yang kerap memakai sarung tangan getah.
- Mereka yang pernah menjalani banyak pembedahan (lebih 10 kali atau lebih).
- Mereka yang selalu terdedah kepada getah termasuklah pekerja industri getah.
- Mereka yang sudah mempunyai alahan lain seperti alahan makanan atau rinitis alergi.
Tanda-tanda atau Gejala Alahan Getah
Dalam kebanyakan kes, alahan terhadap getah terjadi setelah lama terdedah kepada getah.
Tanda-tanda atau gejala alahan yang ringan adalah seperti berikut:
- Gatal-gatal
- Kulit kemerah-merahan
- Ruam atau bintik-bintik merah
Manakala, tanda-tanda atau gejala yang lebih teruk adalah seperti berikut:
- Bersin
- Hidung berair
- Berdehit
- Gatal tekak
- Mata berair dan gatal
- Sukar bernafas
- Batuk
Gejala-gejala Anafilaksis
Tindak balas yang paling serius bagi alahan getah adalah anafilaksis. Tindak balas ini boleh membawa maut sekiranya tidak diberikan rawatan segera.
Antara gejala-gejala anafilaksis adalah:
- Sukar bernafas
- Bengkak atau gatal-gatal
- Loya dan muntah
- Tekanan darah rendah
- Pening
- Hilang kesedaran
- Kekeliruan
- Denyutan nadi lemah atau laju
Gejala-gejala ini boleh terjadi dalam masa beberapa minit setelah terdedah kepada produk yang mengandungi getah.
Selain itu, alahan pada kulit juga boleh berlaku sekiranya berlaku sentuhan langsung terhadap protein getah terutamanya produk sarung tangan getah.
Namun alahan seperti ini sudah jarang berlaku kerana hospital atau klinik telah berubah kepada sarung tangan bukan getah atau sarung tangan getah rendah protein.
Sejenis alahan pada kulit lain dikenali sebagai alahan dermatitis (sentuhan). Alahan ini boleh disebabkan oleh bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan sarung tangan getah. [3]
Alahan ini boleh dilihat dengan kehadiran ekzema dan lepuh pada belakang tangan. Kesan ini boleh dilihat bermula 1 hingga 3 hari selepas memakai sarung tangan getah.
Debu getah pada sarung tangan getah itu juga boleh menjadi pencetus kepada tindak balas alahan seperti anafilaksis dan asma. [4]
Mereka yang mempunyai alahan ini juga mungkin akan mempunyai alahan makanan seperti kiwi, pisang, avokado dan buah berangan. [5, 6]
Punca
Bagi alahan getah, sistem imun anda mengenal pasti getah atau lateks sebagai bahan berbahaya dan mencetuskan antibodi tertentu untuk melawannya.
Berikutnya, sekiranya anda kembali terdedah kepada lateks, antibodi ini memberitahu sistem imun anda untuk melepaskan histamin dan bahan kimia lain ke dalam aliran darah anda.
Proses ini menghasilkan pelbagai gejala dan tanda alahan. Semakin kerap anda terdedah kepada getah, semakin kuat kemungkinan sistem imun anda akan bertindak balas. Ini dipanggil pemekaan.
Alahan getah boleh berlaku melalui dua cara iaitu:
- Sentuhan langsung dengan produk getah seperti sarung tangan getah, kondom atau belon.
- Penyedutan debu-debu getah seperti daripada sarung tangan getah.
Antara produk-produk yang mengandungi getah adalah:
1. Barangan atau alatan perubatan
- Sarung tangan pakai buang
- Tiub intravena
- Picagari
- Stetoskop
- Kateter (tiub yang digunakan untuk mengeluarkan atau memasukkan cecair ke dalam rongga badan)
- Pembalut
2. Produk orang ramai
- Kondom
- Beg tangan
- Belon
- Tayar
- Kasut atlet
- Barangan permainan getah
- Botol bayi
Rawatan & Pencegahan
Alahan terhadap getah ini boleh didiagnosis menggunakan ujian darah.
Alahan ini tidak mempunyai ubat. Rawatan terbaik ialah dengan menghindari produk-produk yang mengandungi getah.
Sekiranya anda mempunyai alahan getah yang teruk, anda harus sentiasa membawa penyuntik epinefrin (Epi-Pen) untuk rawatan kecemasan bagi mengelakkan anafilaksis.
Bagi tindak balas yang ringan, ubat antihistamin atau kortikosteroid boleh membantu melegakan gejala-gejala yang dialami.
Sebagai langkah pencegahan, gantikan produk-produk bergetah seperti sarung tangan getah dengan sarung tangan dari vinyl, sarung tangan tanpa debu, sarung tangan rendah alergen atau sarung tangan tiruan.
Selain itu, anda harus memaklumkan doktor atau penjaga anda sekiranya anda mempunyai alahan terhadap getah.
Walaupun alahan ini jarang sekali meragut nyawa, namun langkah pencegahan yang diambil boleh mengelakkan daripada berlakunya alahan ini.
Rujukan
- Wu, M. et al. (2016). Current prevalence rate of latex allergy: Why it remains a problem?. Journal of occupational health.
- Malsy, M. et al. (2015). Anaphylactic reaction 5 minutes after the start of surgery: a case report. BMC research notes.
- Gottlöber, P. et al. (2001). Allergic contact dermatitis from natural latex. American journal of contact dermatitis.
- Mizuno, J. et al. (2006). [Powder-induced anaphylactic shock following use of powdered latex gloves during gynecological open laparotomy]. The Japanese journal of anesthesiology.
- Taylor, J. S., & Erkek, E. (2004). Latex allergy: diagnosis and management. Dermatologic therapy.
- Bayrou O. (2006). Les allergies au latex [Latex allergy]. La Revue du praticien.