Kasein adalah protein yang boleh dijumpai dalam susu dan produk tenusu yang lain. Alahan kasein berlaku apabila badan anda tersalah anggap bahawa kasein sebagai ancaman kepada badan. Kemudian, badan akan mencetuskan tindak balas untuk melawannya.
Protein susu lain yang turut menyebabkan alahan adalah dadih susu (whey). Ada juga sesetengah orang yang mempunyai alahan terhadap kedua-dua jenis protein ini iaitu kasein dan dadih.
Kebanyakan orang yang mempunyai alahan terhadap susu mengalami simptom-simptom seawal usia bayi dan kemudiannya berjaya mengatasinya semasa mereka membesar.
Tetapi, terdapat juga mereka yang tidak berjaya mengatasi alahan yang dialami sejak kecil dan kekal mengalami alahan ini sehingga mereka dewasa.
Alahan kasein berbeza dengan tak tolerans laktosa. Tak tolerans laktosa bukanlah alahan tetapi lebih kepada tak tolerans kepada gula susu (laktosa) yang menyebabkan simptom-simptom seperti kembung perut, angin, cirit-birit atau sakit perut.
Tak tolerans laktosa tidak mengancam nyawa tetapi alahan kasein boleh mengancam nyawa.
Apakah Punca yang Menyebabkan Alahan Kasein?
Alahan kasein sering berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil. Alahan ini berpunca apabila sistem imun badan beranggapan kasein adalah bahan berbahaya dan mesti dilawan. Keadaan ini akan mencetuskan tindak balas alahan (alergi).
Pakar tidak pasti mengapa sesetengah bayi mengalami alahan kasein dan sesetengahnya tidak, tetapi mereka percaya genetik memainkan peranan.
Kelazimannya, alahan kasein ini akan hilang dengan sendirinya apabila kanak-kanak yang menghidapnya mencapai umur 3 hingga 5 tahun.
Makanan yang mengandungi kasein
Kasein boleh dijumpai dalam susu mamalia seperti susu lembu.
Selain itu, sesetengah produk makanan juga turut mengandungi susu atau kasein. Oleh itu, penghidap alahan kasein perlu mengelak daripada makan, makanan seperti ini.
Antara produk-produk tersebut adalah seperti:
- Semua jenis susu
- Mentega
- Marjerin
- Minyak sapi
- Yogurt
- Kefir
- Keju
- Makanan yang mengandungi keju
- Kastard atau puding
- Biskut
- Krim
Kasein juga boleh terkandung dalam produk yang bukan tenusu seperti krimer atau pewarna. Ini menjadikan kasein sebagai salah satu alergen yang sukar untuk dihindari.
Oleh itu, adalah amat penting untuk membaca label ramuan atau bahan-bahan sebelum membeli sesuatu produk makanan.
Apakah Simptom-simptom Alahan Kasein?
Tindak balas sistem imun dengan alergen (kasein) akan menyebabkan simptom-simptom atau gejala berikut:
- Ruam
- Berdehit
- Muntah-muntah
- Gatal-gatal
- Bersin
- Batuk
- Bengkak bibir
- Bengkak lidah
- Bengkak muka
- Bengkak kerongkong
Tindak balas paling serius bagi alahan ini dipanggil anafilaksis yang boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Penghidap asma dan mereka yang mempunyai alahan makanan berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi atau kematian sekiranya mereka mengalami tindak balas anafilaksis.
Mulut bengkak, sakit dada dan sukar bernafas selepas beberapa minit minum susu atau makan produk mengandungi kasein mungkin bermakna individu tersebut mengalami tindak balas anafilaksis.
Rawatan
Langkah terbaik bagi mengelakkan berlakunya tindak balas alahan ini adalah dengan menghindari semua jenis makanan yang mengandungi kasein.
Bagi anda yang telah didiagnosis menghidap alahan makanan atau alahan susu atau kasein, doktor mungkin menyarankan untuk anda sentiasa membawa penyuntik epinefrina.
Selain itu, ubat antihistamin juga boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom alahan yang ringan.
Bagi tindak balas anafilaksis, pesakit mestilah diberikan rawatan kecemasan iaitu suntikan epinefrina dan kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan.
Bagaimana untuk Menghindari Kasein?
Terdapat banyak produk-produk yang dijual di pasaran yang boleh dibeli sebagai ganti kepada produk yang mengandungi kasein. Antaranya adalah:
- Susu soya atau susu beras
- Ais krim yang dihasilkan daripada soya
- Mentega daripada kelapa
- Produk yang berasaskan kacang soya
Elakkan produk-produk makanan yang mempunyai label seperti “mengandungi susu”, “dihasilkan dengan susu” atau “diproses di fasiliti yang turut memproses produk susu atau tenusu.”
Rujukan
- Dunkin, M.A. (2020). Casein Allergy Overview. WebMD
- Cirino, E. (2020). Casein Allergy. Healthline.