Sebelum ini media tempatan ada menyiarkan isu mengenai penjualan air zam zam secara dalam talian. Kementerian Kesihatan Malaysia melalui satu kenyataan akhbar pada hari ini (1 Julai 2022) memaklumkan bahawa pihak mereka mengambil perhatian terhadap isu tersebut.
Pihak KKM juga turut menyatakan bahawa pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam telah diuar-uarkan kepada pengguna sejak tahun 2015 lagi.
Kenapa Air Zam-zam Tidak Boleh Dijual Di Malaysia?
Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
Bagi kes air zam zam, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.
Tambahan daripada itu juga, pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) turut mengesahkan bahawa tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi mengimport dan menjual air zam zam.
Penguatkuasaan Undang-undang
Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.
Pihak BKKM juga turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian termasuklah e-dagang. Hasil pemantauan di media sosial pada tahun 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing telah dipadam.
Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian (online) terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri air tersebut adalah air zam zam tiruan.