Air fryer atau dalam bahasa Melayunya adalah penggoreng kering. Menggoreng kering adalah salah satu kaedah yang dikatakan sebagai kaedah sihat untuk memasak makanan. Baru-baru ini, air fryer ada dikatakan berbahaya atau boleh menyebabkan kanser? Benar atau tidak tuntutan ini?
Artikel ini akan menjawab persoalan adakah air fryer berbahaya atau tidak, kelebihan memasak menggunakan air fryer dan kekurangan menggunakan air fryer.
Apa itu Air Fryer?
Air fryer adalah ketuhar yang memimik menggoreng jeluk tanpa menenggelam makanan ke dalam minyak. Alat ini mempunyai kipas yang akan mengedarkan udara panas pada kelajuan yang tinggi, menghasilkan lapisan rangup melalui tindak balas pemerangan (tindak balas kimia).

Tindak balas kimia ini dikenali sebagai tindak balas Maillard, yang berlaku di antara asid amino dan gula penurun dengan kehadiran haba. Tindak balas ini membawa kepada perubahan terhadap warna dan perisa makanan.
Makanan goreng kering disebut-sebut sebagai alternatif yang sihat kepada makanan yang digoreng, disumbang oleh kandungan lemak dan kalori yang lebih rendah.
Daripada menenggelamkan makanan ke dalam minyak sepenuhnya, menggoreng kering memerlukan hanya satu sudu minyak untuk mencapai rasa dan tekstur yang serupa dengan makanan yang digoreng.
Kelebihan Memasak Menggunakan Air Fyer
Sekiranya digunakan dengan betul, air fryer boleh mendatangkan kebaikan kepada kesihatan:
1. Lebih Selamat Berbanding Menggoreng Jeluk
Menggoreng kering tidak menggunakan minyak yang banyak seperti menggoreng jeluk (deep-frying). Ini membolehkan pengurangan risiko kepada tumpahan atau percikan minyak panas.
2. Mengurangkan Risiko Penghasilan Bahan Toksik
Menggoreng makanan di dalam minyak boleh menghasilkan bahan toksik yang dipanggil “akrilamid (acrylamide)”. Sebatian ini terbentuk di dalam makanan tertentu semasa memasak pada suhu yang tinggi seperti kaedah menggoreng jeluk atau menggoreng kering.
Sebatian akrilamid ini dikatakan boleh meningkatkan risiko kepada penyakit kanser seperti kanser buah pinggang, ovari dan rahim. Walau bagaimanapun, majoriti kajian tidak menunjukkan perkaitan yang kuat antara pemakanan akrilamid dan pelbagai kanser. [1]
Satu kajian terkini yang diterbitkan pada tahun 2020 pula melaporkan bahawa penggunaan kaedah menggoreng kering (air-frying) boleh mengurangkan penghasilan akrilamid berbanding kaedah menggoreng jeluk. [2]
3. Boleh Mengelakkan Penggunaan Minyak yang Berulang
Kaedah menggoreng jeluk juga meningkatkan kemungkinan penggunaan minyak masak secara berulang-ulang.
Apabila minyak masak ini dipanaskan semula pada suhu yang tinggi ia akan menghasilkan bahan kimia yang dipanggil hidroperoksida dan aldehid. Bahan kimia ini akan diserap oleh makanan yang digoreng dan memasuki badan selepas dicernakan.
Bahan kimia ini dipercayai mempunyai perkaitan dengan penyakit neurodegenerasi dan sesetengah kanser. [3]
4. Mungkin Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pemakanan yang tinggi dengan makanan bergoreng meningkatkan risiko kepada obesiti. Makanan yang dimasak menggunakan kaedah menggoreng jeluk cenderung untuk tinggi dengan kandungan lemak dan kalori.
Beralih kepada kaedah menggoreng kering boleh mengurangkan pengambilan lemak yang tidak sihat dan boleh membantu mengurangkan berat badan.
Kekurangan Memasak Menggunakan Air Fryer
Walaupun memasak menggunakan air fryer dilihat mempunyai banyak kelebihan atau kebaikan, namun ia masih mempunyai kelemahan tersendiri. Antaranya adalah:
1. Menggoreng Kering Tidak Menjamin Diet yang Sihat
Walaupun menggoreng kering boleh membantu mengurangkan pengambilan lemak yang tidak sihat seperti minyak masak. Tetapi, untuk menjamin diet yang sihat, ia masih memerlukan pemilihan makanan yang betul.
Menggoreng kering makanan yang diproses, tinggi dengan lemak dan garam masih boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada kesihatan.
Justeru itu, selain menggunakan air-fryer, pemilihan makanan juga turut memainkan peranan penting.
2. Makanan yang Digoreng Kering Tidak Semestinya Sihat
Air fryer sememangnya boleh menghasilkan makanan yang lebih sihat berbanding makanan yang digoreng jeluk.
Namun, harus diingat bahawa makanan digoreng masih makanan digoreng.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa memakan makanan yang digoreng mempunyai perkaitan dengan pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan.
Sebagai contoh, kajian yang melibatkan 15,362 orang mendapati memakan banyak makanan bergoreng boleh meningkatkan risiko kepada kegagalan jantung. [4]
Kajian kohort yang melibatkan 111,631 peserta turut mendapati pengambilan makanan bergoreng yang kerap mempunyai perkaitan yang ketara dengan penyakit diabetes jenis 2 (penyakit kencing manis). [5]
Air Fryer Berbahaya?
Menjawab kepada persoalan adakah air fryer berbahaya atau tidak, jawapannya adalah bergantung kepada cara penggunaannya.
Sekiranya digunakan dengan betul, kaedah memasak menggunakan air fryer dilihat sebagai tidak berbahaya jika hendak dibandingkan dengan kaedah menggoreng yang konvensional.
Apa yang perlu diberikan perhatian adalah:
- Penggunaan minyak: Elakkan menggunakan minyak yang banyak atau lebih baik tidak menggunakan minyak langsung.
- Pemilihan makanan: Elakkan atau kurangkan memasak menggunakan makanan diproses atau makanan yang tinggi dengan lemak dan garam.
- Mengehadkan pengambilan makanan bergoreng: Walaupun menggoreng kering adalah pilihan yang lebih sihat berbanding menggoreng jeluk, pengambilan makanan bergoreng yang kerap masih mempunyai risiko kesihatan.
- Jenis dan jumlah makanan: Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan dan memilih menggunakan kaedah menggoreng kering (air frying) sebagai kaedah masakan, jenis dan jumlah makanan yang hendak dimasak turut memainkan peranan. Hadkan makanan-makanan yang diproses, tinggi lemak atau tinggi karbohidrat bertapis.
Menjawab kepada kenyataan bahawa penggunaan air fryer boleh menyebabkan kanser, kajian menunjukkan penggunaan air fryer boleh mengurangkan risiko penghasilan sebatian akrilamid iaitu sebatian yang dikaitkan dengan kanser.
Selain itu, penggunaan air fryer juga dapat mengelakkan daripada penggunaan minyak masak yang berulang-ulang. Minyak masak yang dipanaskan secara berulang-ulang turut menghasilkan sebatian yang boleh menyebabkan kanser dan penyakit neurodegenerasi.
Rujukan
- Virk-Baker, M. K. et al. (2014). Dietary acrylamide and human cancer: a systematic review of literature. Nutrition and cancer.
- Lee, J. S. et al. (2020). Effects of Thawing and Frying Methods on the Formation of Acrylamide and Polycyclic Aromatic Hydrocarbons in Chicken Meat. Foods.
- Plataforma SINC. (2012). Fried food risks: Toxic aldehydes detected in reheated oil. ScienceDaily.
- Djoussé, L. et al. (2015). Consumption of fried foods and risk of heart failure in the physicians’ health study. Journal of the American Heart Association.
- Cahill, L. E. et al. (2014). Fried-food consumption and risk of type 2 diabetes and coronary artery disease: a prospective study in 2 cohorts of US women and men. The American journal of clinical nutrition.