Apa itu Air Beralkali?
Mungkin ramai yang sudah mendengar akan tuntutan bahawa air beralkali ini mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan. Contohnya seperti melambatkan penuaan, membekalkan tenaga, melancarkan penghadaman dan mencegah penyakit kanser.
Terdapat juga tuntutan yang mengatakan air beralkali boleh mengurangkan keasidan dalam darah. Adakah semua tuntutan ini benar? Atau sekadar strategi pemasaran?
Air beralkali bermaksud air tersebut mempunyai nilai pH yang tinggi iaitu melebihi 7. Nilai pH ini adalah salah satu cara pengukuran terhadap tahap keasidan atau kealkalian sesuatu bahan. Ia diukur pada skala 0 hingga 14.
Sekiranya bahan tersebut mempunyai nilai pH rendah seperti 1, maka ia sangat berasid. Jika nilai pH adalah tinggi seperti 13, maka ia sangat beralkali. Nilai pH bagi sesuatu bahan atau minuman yang neutral pula adalah 7.
Perbezaan Antara Air Beralkali dengan Air Biasa
Air beralkali mempunyai nilai pH yang lebih tinggi daripada air minuman biasa. Ciri-ciri menjadikan peminat air beralkali beranggapan bahawa air beralkali boleh meneutralkan asid di dalam badan.
Air minuman biasa umumnya mempunyai nilai pH 7. Manakala, air beralkali mempunyai nilai pH antara 8 atau 9.
Tambahan daripada itu juga, air beralkali perlu mengandungi mineral alkali dan keupayaan pengoksidaan-penurunan (ORP) negatif. Keupayaan pengoksidaan-penurunan ialah kebolehan air untuk bertindak sebagai antioksidan atau pro-antioksidan.
Menambah kandungan mineral, natrium, dan kalsium boleh mengubah pH air. Ini bermakna dengan hanya melalui batu atau sungai, air boleh menjadi lebih beralkali.
Dalam konteks air beralkali yang dijual di pasaran, air tersebut biasanya melalui proses yang dipanggil elektrolisis. Elektrolisis berlaku apabila pengilang menggunakan produk yang dipanggil pengion. Pengion menggunakan elektrik untuk menapis keluar molekul-molekul yang lebih berasid.
Kesan Air Beralkali Kepada Kesihatan
Boleh dikatakan tuntutan kesihatan berkenaan air beralkali agak kontroversi. Hal ini demikian kerana, tidak banyak kajian yang boleh menyokong tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh penjual dan pengguna air tersebut.
Sebenarnya, badan manusia telah mempunyai sistem penapis yang boleh mengimbangi paras keasidan dalam badan iaitu buah pinggang. Sekiranya darah anda menjadi terlalu berasid, badan anda akan menurunkan keasidan tersebut dengan membuatkan anda menghembus lebih banyak karbon dioksida.
Meskipun begitu, terdapat juga beberapa kajian berkenaan dengan air beralkali yang menunjukkan potensinya terhadap kesihatan.
Satu kajian di Jepun yang melibatkan 60 orang peserta melaporkan bahawa mereka yang meminum air beralkali mendapati terdapat sedikit penambahbaikan terhadap najis mereka iaitu daripada lembut kepada normal. Pengkaji merumuskan bahawa meminum air berkenaan menyumbangkan kepada penormalan usus. [1]
Satu kajian yang lebih terkini turut melaporkan bahawa mereka yang meminum air beralkali boleh meningkatkan bakteria baik dalam usus iaitu Bifidobacterium. Selain itu juga, kajian ini turut menunjukkan bahawa air tersebut boleh menormalkan najis. [2]
Kajian oleh pengkaji dari Amerika Syarikat yang melibatkan 100 individu mendapati terdapat perbezaan ketara dalam kelikatan darah selepas pengambilan air yang tinggi nilai pH berbanding air biasa selepas senaman yang berat. Kelikatan ialah ukuran langsung tentang kecekapan darah mengalir melalui saluran darah. [3]
Terdapat juga kajian kecil pada tahun 2020 yang mendedahkan bahawa pengambilan air beralkali (pH 8 hingga 10) boleh mengurangkan keterukan penyakit gastrik berbanding air komersial yang mempunyai pH kurang daripada 5. [4]
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian terutamanya kajian-kajian berskala besar diperlukan berbanding kajian-kajian kecil. Lebih-lebih lagi, kajian diperlukan untuk menjawab tuntutan lain yang dibuat oleh penyokong air beralkali.
Contohnya seperti:
- Melambatkan penuaan
- Meningkatkan tenaga
- Meningkatkan metabolisme
- Mengurangkan kelesapan tulang (bone loss)
- Mempunyai ciri-ciri “detox“
- Mengurangkan berat badan
Adakah Air Beralkali Selamat?
Meminum air alkali semula jadi secara umumnya adalah selamat kerana ia mengandungi mineral semula jadi.
Namun, anda perlu berhati-hati dengan air beralkali tiruan yang mungkin hanya mengandungi sedikit mineral yang baik dan berisiko mengandungi bahan cemar.
Perdebatan dalam kalangan ahli profesional kesihatan mengenai air ini bukanlah melibatkan keselamatannya, tetapi lebih kepada tuntutan kesihatan yang dibuat oleh penjual dan pengemar air tersebut.
Tiada bukti kajian yang mencukupi untuk menyokong kegunaan air ini dalam merawat sebarang masalah kesihatan.
Adakah Air Beralkali Mempunyai Kesan Sampingan?
Air minuman beralkali dianggap selamat. Pada masa ini, tiada bukti yang menunjukkan kesan sampingan negatif akibat meminum air jenis ini.
Walaupun air beralkali mempunyai pH yang berbeza daripada air biasa, badan anda akan membuat perubahan fisiologi seperti terus menghasilkan asid hidroklorik, untuk mengawal tahap pH perut dan mencapai homeostasis, iaitu keadaan keseimbangan.
Rujukan
- Tanaka, Y. et al. (2019). Daily ingestion of alkaline electrolyzed water containing hydrogen influences human health, including gastrointestinal symptoms. Medical gas research.
- Tanaka, Y. et al. (2021). The effects of ingestion of hydrogen-dissolved alkaline electrolyzed water on stool consistency and gut microbiota: a double-blind randomized trial. Medical gas research.
- Weidman, J. et al. (2016). Effect of electrolyzed high-pH alkaline water on blood viscosity in healthy adults. J Int Soc Sports Nutr.
- Chaves, J. R. et al. (2020). Effects of alkaline water intake on gastritis and miRNA expression (miR-7, miR-155, miR-135b and miR-29c). American journal of translational research.
- Goldman, R. (2022). Alkaline Water: Benefits and Risks. Healthline.