Air asam jawa atau jus asam jawa popular digunakan untuk merawat atau mengurangkan batuk atau sakit tekak. Adakah amalan ini berkesan?
Untuk menjawab persoalan ini, kami sertakan maklumat-maklumat berkaitan dengan kesan air asam jawa atau buah asam jawa untuk melegakan batuk atau masalah kesihatan berkaitan dengannya.
Batuk ialah tindak balas semula jadi badan untuk menyingkirkan bahan iritasi daripada tekak atau saluran udara anda. Batuk yang sekali-sekala adalah normal dan sihat.
Meskipun begitu, ada keadaan dimana batuk menjadi akut, subakut dan kronik (berpanjangan) yang melibatkan jangkitan atau penyakit pulmonari (paru-paru) seperti asma, bronkitis akut dan kronik, pneumonia, demam selesema, selesema dan sinusitis.
Adakah Berkesan Merawat Batuk?
Secara ringkasnya, jawapannya adalah Ya. Walau bagaimanapun, kesan tersebut mungkin berbeza-beza bagi setiap individu yang berbeza.
Terdapat kajian-kajian yang menyokong bahawa air asam jawa atau buah asam jawa berkesan dalam merawat batuk, sakit tekak atau simptom-simptom berkaitan asma.
Penggunaan jus atau air asam jawa untuk melegakan batuk atau sakit tekak telah dipraktikkan sejak dahulu lagi. Perubatan tradisional di Afrika menggunakan asam jawa untuk merawat asma, demam selesema, dan sakit tekak.
Malah, amalan meminum air asam jawa untuk melegakan sakit tekak atau batuk turut dijadikan petua atau amalan tradisi di negara ini.
Terdapat juga maklumat yang menunjukkan bahawa asam jawa digunakan untuk berkumur bagi merawat sakit tekak. [1]
Terdapat juga laporan yang melaporkan bahawa asam jawa mungkin berkesan dalam merawat asma dan batuk kerana ciri-ciri antihistamin, adaptogenik dan mencegah perembesan perantara alahan. [2]
Kandungan Vitamin dan Antioksidan
Tambahan daripada itu juga, buah asam jawa turut mengandungi vitamin seperti vitamin C, vitamin A dan vitamin E. Ketiga-tiga vitamin ini turut bertindak sebagai antioksidan.
Vitamin C ialah vitamin yang boleh membantu menguatkan sistem pertahanan badan yang boleh mencegah dan merawat sebarang sebarang jangkitan saluran pernafasan dan sistemik. [3]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa pengambilan vitamin C boleh mengurangkan batuk dan berdehit dalam kalangan mereka yang merokok. [4]
Selain itu juga, vitamin A juga turut dikenali sebagai vitamin antiradang yang boleh meningkatkan fungsi sistem imun badan. [5]
Ciri-ciri Antibakteria
Buah asam jawa juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria.
Ciri-ciri antibakteria asam jawa ini dilaporkan dalam satu kajian yang melibatkan beberapa jenis bakteria. Kajian tersebut mendapati asam jawa mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria-bakteria yang lazimnya menyebabkan jangkitan seperti jangkitan saluran kencing (kencing kotor), pneumonia (radang paru-paru), luka dan demam paratifoid. [6]
Terdapat juga kajian lain yang mendedahkan bahawa ekstrak asam jawa turut menunjukkan aktiviti antibakteria yang ketara terhadap bakteria Klebsiella pneumoniae iaitu bakteria yang menyebabkan pneumonia (radang paru-paru). [7]
Pneumonia boleh menyebabkan simptom-simptom seperti batuk, demam, sakit dada atau sukar bernafas.
Rumusan
Secara umumnya, air asam jawa bermanfaat untuk mengurangkan atau melegakan batuk atau sakit tekak.
Penggunaan air asam jawa untuk batuk ini telah lama dipraktikkan oleh masyarakat terdahulu. Kajian-kajian sains yang terhad turut menyokong bahawa asam jawa mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mengurangkan atau melegakan batuk.
Namun begitu, setiap badan manusia mempunyai tindak balas yang berbeza. Oleh itu, sesetengah orang mungkin berjaya untuk mengurangkan batuk mereka dengan meminum air asam jawa dan mungkin juga ada yang sebaliknya.
Rujukan
- Rao, Y.S. et al. (1999). Tamarind (Tamarindus indica L.) research – a review. Indian Journal of Arecanut, Spices and Medicinal Plants.
- Pinar Kuru. (2014). Tamarindus indica and its health related effects. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Omenaas, E. et al. (2003). Dietary vitamin C intake is inversely related to cough and wheeze in young smokers. Respiratory medicine.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Daniyan, S. & Muhammad, H. (2010). Evaluation of the antimicrobial activities and phytochemical properties of extracts of Tamaridus indica against some diseases causing bacteria. AFRICAN JOURNAL OF BIOTECHNOLOGY.
- Vaghasiya, Y. & Chanda, S. (2009). Screening of some traditionally used Indian plants for antibacterial activity against Klebsiella pneumonia. Journal of Herbal Medicine and Toxicology.