Setiap tahun, Hari Farmasi Sedunia disambut pada 25 September untuk menghargai dan mengiktiraf peranan penting ahli farmasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.
Tema sambutan tahun ini iaitu “Pharmacists: Meeting Global Health Needs“, mengangkat profesion ahli farmasi sebagai pendukung penting dalam memastikan akses kepada ubat-ubatan yang selamat, berkesan dan berkualiti tinggi, serta penjagaan kesihatan yang holistik.
Secara umumnya, masyarakat mungkin melihat fungsi ahli farmasi terhad sebagai pembekal ubat-ubatan di kaunter farmasi. Namun demikian, profesion farmasi adalah lebih luas, meliputi pelbagai bidang dan terdapat di sektor awam mahupun swasta.
Antaranya termasuk ahli farmasi di hospital dan klinik, premis farmasi komuniti, industri farmaseutikal, bidang akademik, pengurusan, penguatkuasaan, regulatori farmasi serta perkhidmatan farmasi dalam agensi ketenteraan dan maritim.
Peranan Ahli Farmasi di Fasiliti Kesihatan
Antara peranan utama ahli farmasi di fasiliti kesihatan adalah dalam proses pembekalan ubat kepada pesakit. Ahli farmasi bertanggungjawab untuk membekalkan ubat kepada pesakit berdasarkan preskripsi doktor yang diterima.
Sepanjang proses pembekalan ubat kepada pesakit, terdapat beberapa langkah yang memerlukan ketelitian ahli farmasi untuk memastikan pesakit menerima ubat yang betul, tepat dan berkualiti.
Langkah tersebut merangkumi penerimaan dan penyaringan preskripsi, pengisian ubat, pembekalan ubat dan sesi kaunseling ubat-ubatan.
Selain pembekalan ubat kepada pesakit di Farmasi Pesakit Luar, ahli farmasi turut memantau pembekalan ubat-ubatan kepada pesakit yang berada di dalam wad.
Ahli farmasi akan menilai, berbincang dan memberi cadangan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan keadaan semasa pesakit kepada doktor yang merawat. Peranan ini dapat memastikan regimen ubat-ubatan yang optimum diberikan kepada pesakit.
Ahli farmasi juga bertugas di Farmasi Logistik yang menjalankan proses perolehan dan pemantauan bekalan ubat-ubatan dan bukan ubat.
Peranan ini melibatkan proses penerimaan, penyimpanan, pengagihan serta pemantauan stok berpandukan polisi dan garis panduan yang berkaitan.
Tugas yang melibatkan akses ubat-ubatan dan bukan ubat ini adalah penting untuk memastikan bekalan kedua-duanya sentiasa mencukupi untuk kegunaan di fasiliti kesihatan.
Di sesetengah fasiliti, terdapat juga perkhidmatan lain yang melibatkan peranan ahli farmasi. Sebagai contoh, terdapat ahli farmasi yang bertanggungjawab untuk mencadangkan pengubahsuaian dos bagi sesetengah jenis ubat melalui perkhidmatan pemantauan terapeutik ubat (TDM).
Cadangan pengubahsuaian dos oleh ahli farmasi ini dapat memastikan ubat yang diberikan kepada pesakit berada dalam julat dos yang selamat.
Bukan itu sahaja, ahli farmasi juga terlibat dalam perkhidmatan penyediaan ubat kemoterapi (CDR) dan penyediaan nutrisi parenteral (TPN).
Secara ringkasnya, CDR merupakan perkhidmatan penyediaan ubat-ubatan yang digunakan untuk tujuan kemoterapi manakala TPN ialah penyediaan beg nutrisi yang disediakan berdasarkan keperluan pesakit yang tidak dapat makan atau minum melalui mulut atau tiub.
Di beberapa hospital tertentu, ahli farmasi di perkhidmatan farmasi nuklear bertanggungjawab menyediakan sediaan radioterapi untuk rawatan pesakit kanser dan tujuan pengimejan diagnostik.
Tidak sekadar itu, ahli farmasi turut memainkan peranan dalam menyalurkan informasi ubat-ubatan kepada pesakit dan juga ahli profesional kesihatan yang lain.
Selain di fasiliti kesihatan, penyampaian informasi secara berterusan ini dilakukan juga oleh ahli farmasi menerusi pelbagai aktiviti kesedaran dan pendidikan.
Antaranya seperti pameran, ceramah, wawancara radio dan televisyen, penulisan artikel, perkongsian menerusi media sosial dan pelbagai lagi.
Peranan ini penting untuk meningkatkan kesedaran dan tahap pengetahuan orang awam tentang penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti.
Ahli Farmasi dan Masyarakat
Seiring dengan peredaran masa, perkhidmatan farmasi kini semakin berkembang dan menjadi lebih tertumpu kepada pesakit (patient-centered services).
Ahli farmasi semakin proaktif dalam menjalankan aktiviti yang melibatkan masyarakat di komuniti secara langsung.
Melalui Perkhidmatan Farmasi Penilaian Ubat-Ubatan di Rumah atau Home Medication Review (HMR) contohnya, ahli farmasi dapat membantu membuat penilaian ubat-ubatan dan amalan penggunaan ubat-ubatan pesakit di rumah.
Pendekatan secara langsung ini memudahkan sesi kaunseling ubat-ubatan atau penerangan dilakukan kepada pesakit dan ahli keluarga.
Peranan Ahli Farmasi Semakin Berkembang
Tugas ahli farmasi tidak lagi terhad di fasiliti kesihatan. Ahli farmasi kini terlibat juga dalam cabang perkhidmatan lain, seperti di farmasi komuniti, industri farmaseutikal, bidang akademik serta dalam bidang pengurusan, penguatkuasaan dan regulatori farmasi.
Walaupun bertugas di sektor yang berbeza, namun matlamat utama profesion ahli farmasi adalah menjadi barisan hadapan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan masyarakat.
Mendepani Cabaran Kesihatan Global
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan 10 ancaman kesihatan global yang perlu ditangani sewajarnya dan ahli farmasi turut tidak terkecuali dalam usaha menangani isu-isu tersebut.
Sebagai contoh, ahli farmasi berperanan penting dalam menangani isu kerintangan ubat antimikrob, pengurusan penyakit kronik serta penyakit berjangkit seperti influenza, denggi dan human immunodeficiency virus (HIV).
Secara kesimpulannya, tema Hari Farmasi Sedunia 2024 iaitu “Ahli Farmasi: Memenuhi Keperluan Kesihatan Global” menekankan peranan ahli farmasi yang cukup signifikan dalam menangani cabaran kesihatan dunia.
Tanpa mengira peranan di pelbagai sektor perkhidmatan yang diceburi, ahli farmasi sentiasa berganding bahu bersama-sama ahli profesional kesihatan yang lain dalam memastikan penjagaan kesihatan terhadap pesakit adalah optimum dan terbaik serta memastikan akses kepada ubat-ubatan yang selamat dan berkesan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Nadiatul Nabilah Sani
Puan Nadiatul Nabilah Binti Sani ialah seorang Pegawai Farmasi di Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.