Timbul persoalan-persoalan seperti adakah lemak yang dimakan tidak hancur? Adakah lemak yang dimakan tidak dicernakan? Adakah lemak tepu membeku dalam badan dan tidak cair?
Bagi menjawab persoalan-persoalan yang mungkin bermain di minda masyarakat, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut kepada anda mengenai apa yang terjadi kepada lemak yang anda makan.
Lemak ialah sejenis lipid. Walaupun sering dianggap tidak baik, lemak sebenarnya penting untuk kesihatan.

Lemak membekalkan tenaga, membantu sel-sel untuk membesar dan tumbuh semula, menjadi pelapik kepada organ dan mengekalkan kehangatan badan.
Selain itu, lemak juga membantu vitamin-vitamin tertentu untuk diserap di dalam badan.
Masa untuk lemak dicernakan adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Lemak mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam berbanding makanan lain.
Masa ini juga turut bergantung kepada kepada jenis lemak. Terdapat 4 jenis lemak iaitu:
- Lemak tepu
- Lemak monotaktepu
- Lemak politaktepu
- Lemak trans
Lemak tepu dan lemak trans dianggap sebagai lemak yang tidak sihat.
Proses Pencernaan Lemak
Lipid tidak larut di dalam air, ini bermakna air tidak dapat menyerap lipid atau memecahkannya.
Kebanyakan enzim pencernaan adalah berasaskan air, maka badan harus menggunakan enzim istimewa untuk mencernakan lemak melalui saluran pencernaan.
Proses pencernaan lemak melibatkan beberapa peringkat, bermula sebaik sahaja makanan memasuki mulut anda.
Berikut adalah proses-proses pencernaan lemak:
1. Mulut
Proses pencernaan lemak bermula apabila anda mula mengunyah makanan anda.
Mengunyah akan meningkatkan luas permukaan makanan, membolehkan enzim di dalam air liur mengurai makanan dengan lebih berkesan.
Terdapat 2 bahan kimia yang sangat penting untuk membantu pencernaan lemak di dalam mulut iaitu lingual lipase dan fosfolipid. Bahan kimia ini menukarkan lemak kepada titisan-titisan kecil.
2. Esofagus
Apabila anda menelan, satu siri pengecutan otot yang dipanggil peristalsis menggerakkan makanan melalui esofagus dan ke dalam perut anda.
3. Perut
Pelapik perut anda akan menghasilkan asid dan enzim yang mengurai lemak yang dimakan supaya ia dapat disalurkan ke usus kecil.
Perut boleh menukarkan hampir 30% lemak yang dimakan kepada asid lemak dan digliserida selepas kira-kira 2-4 jam selepas makan.
4. Usus Kecil
Seterusnya, kandungan dalam perut termasuklah asid lemak dan digliserida tadi akan bergerak masuk ke dalam usus kecil.
Majoriti pencernaan lemak akan berlaku di sini dan di dalam usus kecil juga majoriti nutrien akan diserap.
Pankreas anda akan menghasilkan enzim yang memecahkan lemak, karbohidrat dan protein.
Hati pula akan melepaskan hempedu yang mengandungi lesitin, garam hempedu dan pengemulsi yang turut membantu menguraikan lemak sehingga selesai.
Semasa proses ini, lemak dan kolesterol dibungkus menjadi zarah-zarah kecil yang dipanggil kilomikron.
Apa yang Terjadi Selepas Lemak Dicernakan?
Selepas lemak dicernakan, asid lemak akan melalui sistem limfa dan kemudiannya keseluruh badan melalui saluran darah untuk digunakan bagi menyimpan tenaga, membaiki sel dan tumbesaran.
Sistem limfa juga turut menyerap asid lemak untuk melawan jangkitan.
Tisu lemak yang dikenali sebagai adipos akan mengambil trigliserida daripada kilomikron. Setiap kilomikron akan mengecil dan akhirnya meninggalkan sisa yang kaya dengan kolesterol yang seterusnya diambil oleh hati.
Bagaimana untuk Menambah baik Pencernaan Lemak dalam Badan?
Pencernaan lemak yang berkesan penting untuk kesihatan secara keseluruhannya.
Hal ini demikian kerana badan memerlukan lemak untuk fungsi-fungsi tertentu, Manakala, pencernaan lemak yang sempurna juga boleh membantu mengekalkan berat badan yang ideal.
Beberapa cara yang boleh menambah baik pencernaan lemak adalah:
- Makan lemak sihat: Anda disarankan untuk mengutamakan lemak sihat seperti ikan berlemak, minyak zaitun, avokado atau kacang.
- Amalkan diet rendah lemak: Diet yang tinggi lemak boleh menggalakkan perkembangan bakteria yang menyebabkan seseorang itu menyerap lemak lebih banyak, boleh menyebabkan peningkatan berat badan. [1]
- Menjaga kesihatan hati: Hati adalah organ penting yang menghasilkan garam hempedu yang memainkan peranan dalam mencernakan lemak.
- Menjaga kesihatan badan: Menjaga kesihatan badan dengan merawat sebarang masalah kesihatan terutamanya yang melibatkan sistem pencernaan dan hati boleh mencegah daripada masalah pencernaan lemak. [2]
Rumusan
Bagi menjawab persoalan-persoalan berkaitan pencernaan lemak, dapat dirumuskan bahawa lemak yang dimakan akan hancur atau dicernakan di dalam perut dan usus kecil.
Proses pencernaan lemak bermula seawal peringkat di dalam mulut.
Manakala, lemak tepu membeku di dalam badan adalah tidak benar kerana semua jenis lemak akan diuraikan sehingga menjadi zarah-zarah kecil yang dikenali sebagai kilomikron.
Rujukan
- Patricia JJ, Dhamoon AS. Physiology, Digestion. [Updated 2022 Sep 12]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Martinez-Guryn, K. et al. (2018). Small Intestine Microbiota Regulate Host Digestive and Absorptive Adaptive Responses to Dietary Lipids. Cell host & microbe.
- Omer, E., & Chiodi, C. (2024). Fat digestion and absorption: Normal physiology and pathophysiology of malabsorption, including diagnostic testing. Nutrition in clinical practice.