Suntikan epinefrina sinonim dengan orang yang mempunyai alahan yang serius. Tetapi, mungkin menjadi satu kerisauan atau kebimbangan apabila ibu hamil mengalami alahan yang serius. Adakah ibu hamil boleh menggunakan epinefrina?
Epinefrina adalah ubat yang mempunyai pelbagai kesan pada badan, termasuk meningkatkan tekanan darah dan mengembangkan saluran pernafasan.
Epinefrina ini lazimnya digunakan sebagai anestetik setempat (local anesthetic) atau untuk merawat tindak balas alahan yang teruk seperti anafilaksis.
Artikel ini membincangkan mengenai keselamatan bagi ibu hamil yang menggunakan epinefrina, termasuk untuk merawat anafilaksis dan semasa rawatan pergigian.
Adakah Selamat Menggunakan Epinefrina Semasa Hamil?
Secara umumnya, penggunaan epinefrina boleh dikatakan selamat sekiranya digunakan semasa hamil.
Menurut satu laporan kes pada 2017, epinefrina adalah ubat yang selamat untuk digunakan semasa kehamilan tanpa kesan sampingan yang besar. [1]
Walau bagaimanapun, satu artikel melaporkan bahawa secara teorinya, epinefrina berisiko menyebabkan kekejangan arteri rahim, yang boleh menyebabkan kelahiran pramatang. [2]
Meskipun begitu, bukti yang menunjukkan kesan sampingan yang negatif akibat penggunaan epinefrina pada manusia semasa kehamilan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ahli profesional kesihatan perlu menggunakan epinefrina secara berhati-hati sekiranya tekanan darah ibu hamil adalah 130/80 mmHg atau lebih tinggi.
Epinefrina boleh mengubah kesan oksitosin pada rahim, yang boleh melambatkan kelahiran.
Satu analisis pada 2019 pula menunjukkan bahawa epinefrina boleh menjadikan kesan anestetik setempat bertahan lebih lama. [3]
Anafilaksis dan Kehamilan
Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang teruk yang memerlukan rawatan kecemasan dan boleh mengancam nyawa.
Walaupun secara teorinya terdapat risiko kelahiran pramatang apabila menggunakan epinefrina, faedahnya mungkin melebihi potensi risiko.
Anafilaksis yang tidak dirawat semasa kehamilan mungkin berbahaya kepada ibu hamil dan janinnya.
Contohnya, anafilaksis boleh menyebabkan tekanan darah rendah dan tahap oksigen yang rendah dalam darah. Ini boleh menyebabkan kekurangan oksigen sampai ke janin dan meningkatkan risiko kerosakan otak janin yang teruk.
Laporan kes pada 2017 menunjukkan epinefrina ialah ubat yang selamat untuk merawat anafilaksis semasa kehamilan dan tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan yang besar. [1]
Satu laporan kes yang lain turut melaporkan ibu hamil yang mengalami anafilaksis akibat daripada suntikan antibiotik bagi tujuan pembedahan Caesarean (czer). [4]
Kejutan anafilaksis tersebut diuruskan dengan suntikan epinefrina, glukokortikoid dan antihistamin dan pembedahan kecemasan czer dilakukan.
Hasilnya, ibu dan bayi berada dalam keadaan baik selepas rawatan segera untuk anafilaksis dan pembedahan kecemasan dilakukan.
Rawatan Gigi Semasa Kehamilan
Bagi rawatan gigi pula, Persatuan Pergigian Amerika (ADA) menyatakan bahawa adalah selamat untuk menggunakan epinefrina sebagai anestetik setempat untuk rawatan pergigian semasa kehamilan.
Menurut satu kajian semula oleh pengkaji dari Seoul National University, lidocaine adalah salah satu anestetik setempat yang paling biasa digunaka untuk rawatan pergigian. [5]
Ia mungkin hampir tiada kesan sampingan negatif terhadap ibu hamil atau janin.
Menurut the Food and Drug Administration (FDA), lidocaine dikelaskan dibawah kategori B iaitu dianggap tidak berbahaya kepada manusia.
Walau bagaimanapun, jika rawatan pergigian tersebut bukan kecemasan, mungkin lebih baik untuk menerima rawatan selepas trimester kedua berbanding trimester pertama.
Rumusan
Kajian dan laporan kes menunjukkan bahawa penggunaan epinefrina semasa hamil adalah selamat. Ibu hamil boleh menggunakan epinefrina untuk merawat anafilaksis atau sebagai anestetik setempat.
Anafilaksis adalah jarang berlaku semasa kehamilan, namun tanpa rawatan pantas ia boleh mengancam nyawa ibu dan janin dalam kandungan.
Rujukan
- Tsuzuki, Y. et al. (2016). Management of maternal anaphylaxis in pregnancy: a case report. Acute medicine & surgery.
- Chiaravalloti, A. et al. (2019). Dermatologic surgical considerations in the pregnant female. Journal of American Academy of Dermatology.
- Asgarlou Z. et al. (2019). The effects of epinephrine, as a supplement for epidural and spinal anesthesia, on the duration of analgesia during childbirth and Apgar Score: A systematic review and meta-analysis. Nurs Midwifery Stud.
- Jeon, H. J. et al. (2018). Maternal anaphylactic shock in pregnancy: A case report. Medicine.
- Lee, J. M., & Shin, T. J. (2017). Use of local anesthetics for dental treatment during pregnancy; safety for parturient. Journal of dental anesthesia and pain medicine.