BMI digunakan secara meluas sebagai alat menilai kesihatan yang standard. Namun, menjadi persoalan adakah BMI ini tepat? Hal ini demikian kerana terdapat banyak kritikan dalam kalangan pengamal perubatan mengenainya.
Malah, ramai yang mendakwa BMI sudah lapuk dan tidak tepat serta tidak boleh digunakan dalam tetapan perubatan dan kecergasan.
Artikel ini akan menjelaskan kepada anda mengenai BMI, adakah ia tepat atau tidak serta kekurangannya.
Apa itu BMI?
BMI merujuk kepada body mass index atau dalam bahasa Melayunya adalah indeks jisim badan.
BMI telah diperkenalkan oleh seorang ahli matematik Belgium bernama Lambert Adolphe Jacques Quetelet pada tahun 1832.
Beliau membangunkan skala BMI untuk menganggarkan dengan cepat tahap berat badan berlebihan dan obesiti dalam populasi tertentu bagi membantu kerajaan memutuskan peruntukan untuk kesihatan dan kewangan. [1]
Menariknya, Quetelet menyatakan bahawa BMI tidak berguna dalam mengkaji individu, sebaliknya ia sesuai untuk memberikan gambaran kesihatan keseluruhan populasi.
Walau bagaimanapun, sehingga kini BMI masih digunakan secara meluas untuk mengukur kesihatan individu.
Skala BMI dikira berdasarkan formula matematik berikut:
- BMI = berat (kg) / (tinggi (m))2
Apabila BMI dikira, nilai tersebut akan dibandingkan dengan skala berikut bagi menentukan anda jatuh pada kategori normal atau tidak:
Nilai BMI | Kategori | Risiko Masalah Kesihatan |
---|---|---|
kurang daripada 18.5 | Kurang berat | Tinggi |
18.5-24.9 | Berat normal | Rendah |
25.0-29.9 | Berat berlebihan | Rendah hingga sederhana |
30.0-34.9 | Obes kelas I | Tinggi |
35.0-39.9 | Obes kelas II | Sangat tinggi |
40 atau lebih | Obes kelas III | Tersangat tinggi |
Mengikut pengiraan ini, seorang ahli profesional kesihatan mungkin mencadangkan perubahan kesihatan dan gaya hidup jika anda tidak termasuk dalam kategori berat “normal”.
Adakah BMI Indikator Kesihatan yang Tepat?
Walaupun terdapat kebimbangan bahawa BMI tidak mengenal pasti dengan tepat sama ada seseorang itu sihat atau tidak, kebanyakan kajian menunjukkan bahawa risiko seseorang untuk mendapat penyakit kronik dan kematian pramatang meningkat dengan BMI lebih rendah daripada 18.5 (“kurang berat”) atau 30.0 atau lebih besar (“obes”). [2, 3]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa BMI lebih daripada 30.0 mula meningkatkan risiko isu kesihatan kronik seperti penyakit kardiovaskular, kanser atau diabetes jenis 2. [4, 5]
Kajian lain melaporkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 5-10% menunjukkan penurunan ketara terhadap kolesterol total, trigliserida dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [6]
Penurunan ini juga mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.
Disebabkan kebanyakan penyelidikan menunjukkan peningkatan risiko penyakit kronik dalam kalangan orang yang mempunyai obesiti, ramai profesional kesihatan boleh menggunakan BMI sebagai gambaran umum risiko seseorang.
Namun, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya alat diagnostik yang digunakan.
Kekurangan BMI
Walaupun penyelidikan mengaitkan BMI rendah (di bawah 18.5) dan tinggi (30 atau lebih) dengan peningkatan risiko kesihatan, terdapat banyak kelemahan dengan penggunaannya yang menimbulkan persoalan adakah BMI ini tepat atau tidak.
Beberapa kekurangan BMI yang perlu diberi perhatian adalah:
1. Tidak Mengambil Kira Pengagihan Lemak
Walaupun BMI yang lebih besar dikaitkan dengan kesihatan yang lebih buruk, lokasi lemak pada badan mungkin menyebabkan perbezaan yang lebih besar.
Mereka yang mempunyai lemak yang disimpan di sekitar kawasan perut (dikenali badan bentuk epal) mereka mempunyai risiko penyakit kronik yang lebih besar berbanding mereka yang mempunyai lemak yang disimpan di pinggul, punggung dan peha mereka.
Satu kajian semula melibatkan 72 kajian mendapati mereka yang mempunyai pengagihan lemak bentuk epal mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi. [7]
2. Tidak Mempertimbangkan Faktor Kesihatan Lain
BMI tidak mempertimbangkan beberapa faktor kesihatan lain seperti usia, jantina, genetik, gaya hidup, sejarah perubatan atau faktor lain.
Sekiranya diagnosis hanya bergantung kepada BMI semata-mata, ia terlepas pengukuran kesihatan lain yang penting seperti kolesterol, gula darah, kadar denyutan jantung, dan tahap keradangan.
Akibatnya, ia boleh mengakibatkan anggapan berlebihan atau kurang anggaran kesihatan sebenar seseorang.
3. Menganggap Semua Berat Adalah Sama
Walaupun 1 kilogram (kg) otot mempunyai berat yang sama dengan 1 kg lemak. Tetapi, otot adalah lebih padat dan memerlukan ruang yang lebih kecil.
Akibatnya, seseorang yang sangat kurus tetapi mempunyai jisim otot yang tinggi mungkin lebih berat pada penimbang.
Dua orang dengan ketinggian dan berat yang sama mungkin kelihatan berbeza sama sekali. Seorang mungkin ahli bina badan dengan jisim otot yang tinggi, manakala seorang lagi mungkin mempunyai jisim lemak yang lebih tinggi.
Jika hanya BMI dipertimbangkan, ini boleh salah mengklasifikasikan seseorang sebagai “berat badan berlebihan” atau “obes” walaupun rendah lemak.
4. Mungkin Tidak Relevan Untuk Semua Populasi
Walaupun penggunaan BMI secara meluas dalam kalangan semua orang dewasa, ia mungkin tidak menggambarkan kesihatan populasi kaum dan etnik tertentu dengan tepat.
Sebagai contoh, kajian-kajian telah menunjukkan bahawa orang berketurunan Asia mempunyai peningkatan risiko penyakit kronik pada titik pemotongan BMI yang lebih rendah, berbanding dengan orang kulit putih. [8, 9]
Rumusan
Indeks jisim badan (BMI) ialah alat penilaian kesihatan yang sangat kontroversi yang direka untuk menganggarkan lemak badan seseorang dan risiko masalah kesihatan.
Dari satu sudut, penyelidikan menunjukkan risiko penyakit kronik yang lebih besar apabila BMI meningkat melebihi julat “normal”. Manakala, BMI yang rendah (di bawah 18.5) juga dikaitkan dengan masalah kesihatan yang buruk.
Meskipun begitu, dari satu sudut lagi, BMI gagal mempertimbangkan aspek kesihatan yang lain, seperti umur, jantina, jisim lemak, jisim otot, bangsa, genetik dan sejarah perubatan.
Walaupun BMI boleh digunakan sebagai titik permulaan, ia tidak sepatutnya dijadikan satu-satunya ukuran kesihatan anda.
Rujukan
- Zierle-Ghosh A, Jan A. Physiology, Body Mass Index. [Updated 2022 Sep 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Klatsky, A. L. et al. (2017). Body Mass Index and Mortality in a Very Large Cohort: Is It Really Healthier to Be Overweight?. The Permanente journal.
- Aune, D. et al. (2016). BMI and all cause mortality: systematic review and non-linear dose-response meta-analysis of 230 cohort studies with 3.74 million deaths among 30.3 million participants. BMJ.
- Katzmarzyk, P. T. et al. (2012). Body mass index and risk of cardiovascular disease, cancer and all-cause mortality. Canadian journal of public health.
- Gray, N. et al. (2015). Relation between BMI and diabetes mellitus and its complications among US older adults. Southern medical journal.
- Brown, J. D. et al. (2016). Effects on cardiovascular risk factors of weight losses limited to 5-10. Translational behavioral medicine.
- Jayedi, A. et al. (2020). Central fatness and risk of all cause mortality: systematic review and dose-response meta-analysis of 72 prospective cohort studies. BMJ.
- Zheng, W. et al. (2011). Association between body-mass index and risk of death in more than 1 million Asians. The New England journal of medicine.
- Misra A. (2015). Ethnic-Specific Criteria for Classification of Body Mass Index: A Perspective for Asian Indians and American Diabetes Association Position Statement. Diabetes technology & therapeutics.