7 buah universiti di Mesir yang menawarkan bidang pengajian perubatan mungkin akan dikeluarkan daripada senarai universiti yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Universiti-universiti ini adalah:
- Universiti Mansoura
- Universiti Al-Azhar
- Universiti Cairo
- Universiti Ain Shams
- Universiti Iskandariah
- Universiti Tanta
- Universiti Zagazig
Kenyataan dikeluarkan oleh presiden Majlis Perubatan Malaysia iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berdasarkan mesyuarat MPM ke-407 bertarikh 22 Jun 2021.
Hal ini berikutan pengurangan tempoh pengajian daripada enam (6) tahun kepada lima (5) tahun pengajian bagi kesemua tujuh (7) buah universiti ini.
Mesyuarat tersebut turut menetapkan bahawa bagi warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran perubatan ke universiti-universiti Mesir ini wajib memenuhi syarat kelayakan minima kemasukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia iaitu:
- sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/ asasi/ pra-universiti atau
- lepasan STPM/ A-Level atau
- lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.
Mesyuarat tersebut juga turut menetapkan bahawa sekiranya syarat kemasukan minima ini tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti tersebut mungkin berhadapan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM.
Pihak MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti ini daripada senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini masih berterusan.
Beliau turut meminta kerjasama dari semua pihak terutamanya badan-badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan untuk memastikan syarat ini dipatuhi supaya tidak timbul sebarang kesulitan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian.