Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut yang dikesan mengandungi racun berjadual:
Bil. | Nama Produk | Racub Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Snow White Treatment Cream | Merkuri |
2. | Kak Ell Krim Rawatan | Merkuri |

Tambahan daripada itu juga, notifikasi produk-produk kosmetik ini juga turut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan farmasi, KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Perihal Bahan Racun Berjadual
Orang awam harus mengetahui bahawa racun berjadual seperti merkuri adalah dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan sekiranya ibu hamil dan ibu menyusukan anak menggunakan produk mengandungi merkuri.
Selain itu, merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.